Home » Langit Terbuka » Rundingan awal ICERD Januari depan

Rundingan awal ICERD Januari depan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata kerajaan masih tiada kata putus berhubung hasrat meratifikasi konvensyen berkenaan dan memaklumkan sesi berkenaan akan dimulakan Januari tahun depan untuk mendapatkan maklum balas pelbagai pihak

PUTRAJAYA – Sesi rundingan dan libat urus dengan pelbagai pihak berhubung hasrat kerajaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) akan dimulakan Januari depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, berkata kerajaan masih tiada kata putus berhubung hasrat meratifikasi konvensyen berkenaan dan memaklumkan sesi berkenaan akan dimulakan Januari tahun depan untuk mendapatkan maklum balas pelbagai pihak berhubung perkara itu.

“Masih belum ada keputusan (ratifikasi ICERD). Seperti yang Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad katakan sebelum ini, pandangan dan maklum balas semua pihak perlu didengar berhubung hasrat meratifikasi konvensyen itu.

“Kemudian, maklum balas yang diterima akan diserahkan kepada kerajaan, seterusnya Kabinet akan buat keputusannya.

“Kita tidak menetapkan sebarang tempoh masa untuk sesi rundingan ini. Saya perlu jelaskan di sini, kerana sebelum ini kenyataan saya pernah disalah tafsir bahawa wujud tempoh masa untuk perkara ini.

“Kerajaan akan berunding dengan semua pihak dan kami akan membuat keputusan kemudian,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Metta 2018 di sini, hari ini.

Bertemakan ‘Opening of Heart’, Konvensyen Metta 2018 yang menekankan mengenai kebaikan dan kasih sayang mengumpulkan penganut pelbagai agama dari beberapa negara bagi mengadakan sesi perkongsian terutama berkaitan perhubungan sesama manusia.

Waytha ketika menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH PKR-Pasir Gudang) pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat semalam berkata, keresahan segelintir pihak berhubung ICERD tercetus berikutan kegagalan mereka memahami inti pati cadangan perjanjian itu.

Beliau turut memaklumkan setakat ini, belum diputuskan bagaimana sesi rundingan dan libat urus itu akan dilaksanakan.

“Saya perlu berbincang dengan rakan Kabinet yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam kerana perkara ini membabitkan pelbagai komuniti serta umat Islam.

“Saya akan berjumpa dengannya untuk membincangkan perkara ini dalam masa terdekat dan merancang bagaimana untuk melaksanakan sesi rundingan berkenaan,” katanya. – Berita Harian

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *