Sekat media sosial kerana bimbang video rusuhan terus cetus keganasan
COLOMBO – Kerajaan Sri Lanka menyalahkan syarikat gergasi, Facebook kerana gagal mengawal kandungan sentimen kebencian sehingga menyebabkan rusuhan anti-Islam berlaku di negara itu, minggu lalu.
Susulan tindakan protes kumpulan ekstremis Buddha di beberapa bandar di daerah Kandy, kerajaan memutuskan menyekat Facebook, Whatsapp dan platform media sosial lain di seluruh negara itu.
Menteri Telekomunikasi Sri Lanka, Harin Fernando berkata, kerajaan terpaksa mengambil langkah berkenaan kerana bimbang video yang disebar secara meluas di media sosial, memaparkan masjid dan kuil dibakar akan terus mencetuskan keganasan.
“Jika itu dibiarkan, keseluruhan negara mungkin terbakar hanya dalam beberapa jam sahaja. Ucapan dan kenyataan kebencian tidak dikawal organisasi ini (Facebook), dan ia menjadi isu kritikal di seluruh dunia,” kata Fernando.
Khamis lalu, Fernando bersama Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe serta pegawai komunikasi bertemu dengan pasukan Facebook di Colombo.
Sri Lanka meminta supaya sistem baharu yang lebih pantas untuk memadamkan halaman yang membawa risiko kepada keselamatan negara.
Kerajaan mengisytiharkan darurat selama 10 hari di seluruh negara dan perintah berkurung di bandar Kandy, ekoran ketegangan yang semakin memuncak antara ekstremis Buddha dan minoriti Islam.
Pergaduhan agama itu menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang maut dan puluhan rumah serta masjid di sekitar bandar berkenaan, rosak.- Agensi
KOMEN