Home » Citra Yadim » Sabah #QuranHour cipta sejarah

Sabah #QuranHour cipta sejarah

SABAH #QuranHour mencatat sejarah apabila julung kali diadakan pada sambutan Tahun Baharu 2018, bersama al-Quran di Masjid Negeri Sabah, Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Disember lalu.

SABAH #QuranHour mencatat sejarah apabila julung kali diadakan pada sambutan Tahun Baharu 2018, bersama al-Quran di Masjid Negeri Sabah, Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Disember lalu.

Ia adalah inisiatif bersama pihak penganjur daripada Kerajaan Sabah, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Majlis Ugama Islam Sabah (Muis), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Jakim Sabah, Jabatan Penyiaran Sabah, Sabah FM, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Rumah Ngaji dan Kumpulan Media Karangkraf.

Pengarah Yadim Sabah, Samin Ongki berkata, pihaknya sebagai penganjur utama program sejam berinteraksi dengan al-Quran itu, berpuas hati dengan sambutan baik daripada pemimpin, ketua organisasi, anggota beruniform dan orang ramai yang menyokong kempen My Family #QuranHour.

“Sabah #QuranHour adalah ajakan penting kepada rakyat Sabah, terutama kepada yang  beragama Islam memulakan tahun baru dengan kefahaman dan mengamalkan nilai-nilai murni daripada al-Quran.

“Ia juga sebagai permulaan umat Islam berinteraksi dan menjadikan al-Quran sebagai panduan kehidupan,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Sabah bersetuju menjadikan #QuranHour sebagai acara tahunan di Masjid Negeri Sabah sebagai lokasi utama dan akan diperluaskan ke 30 daerah lain pada masa akan datang.

Beliau berkata, pengisian rohani akan dilanjutkan di tempat terbuka, sementara menunggu detik 12 malam bagi menyambut tahun baharu.

“Sejam bersama al-Quran menjadi alternatif untuk menyambut tahun baharu, bagi menggantikan program-program tidak bermanfaat sebelum ini,” katanya.

Mufti Kerajaan Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar turut mencadangkan Sabah #QuranHour dijadikan acara tahunan bagi menyuburkan penghayatan al-Quran dalam kalangan umat di pelbagai peringkat.

Sementara itu, penggerak Rumah Ngaji Sabah, Noorazlinah Awang berkata, program pengisian al-Quran itu diadakan untuk membudayakan baca, faham dan amal al-Quran serta menyahut kempen My Family #QuranHour dalam kalangan masyarakat Islam di Negeri Bawah Bayu.

Menurunkan tandatangan tanda sokongan menjayakan kempen My Family #QuranHour.

“Ia seiring misi Rumah Ngaji Sabah untuk menyuburkan budaya baca faham amal al-Quran di bumi Sabah,” katanya.

Seawal jam 5.30 petang, seramai 3,000 jemaah telah memenuhi ruang masjid yang tersergam indah.

Kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Juhar Mahiruddin turut menyerikan acara yang menyantuni al-Quran.

Lebih menarik, seramai 10 pembawa panji surah lazim terdiri daripada ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan serta pemimpin masyarakat memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran.

Mereka ialah Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Yusof Abd Abbas; Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Zulkefle Abd Hamid; Panglima Lima Briged Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Sabah, Brig Jeneral Datuk Pahlawan Mohd Anuar Rijaludin; Pengarah Jabatan Bomba & Penyelamat Negeri Sabah, Nordin Pauzi; Ketua Hakim Syarie Sabah, Jabatan Kehakiman Syariah Sabah, Datuk Jasri @ Nasip Mat Jakir; Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Sabah, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Daud; Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Bahagian Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Mohd Zamri Baharudin; Ketua Cawangan Bahagian Agama & Kaunseling, Ustaz Muhamad Fadhli Ahmat; dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas Negeri Sabah, Datuk Abdul Manap Lakariba.

Selepas sesi bacaan al-Quran itu, Penasihat Modul Rumah Ngaji, Fazrul Ismail, berkongsi model perubahan diri 114 surah dalam sesi tadabbur dan tazakkur surah Al-Fatihah.

Noorazlinah (empat, kiri) bersama peserta remaja dan kanak-kanak yang menyertai Sabah #QuranHour.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Marhaini Yusoff berkata, kejayaan pihak Yadim Sabah dan rakan sinerginya menganjurkan Sabah #QuranHour perlu menjadi contoh kepada penggerak dakwah al-Quran negeri lain bagi menggembleng tenaga pelbagai pihak untuk mengukuhkan negeri dengan al-Quran.

“Saya rasa teruja apabila Sabah #QuranHour menampilkan kalangan ketua dan pemimpin sebagai pembawa panji al-Quran.

“Mereka turun padang dan bergabung dalam satu program yang dipanggil Berinteraksi dengan Al-Quran atau #QuranHour.

“Malah kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah turut menyuntik semangat rakyat mendokong al-Quran sebagai teras kehidupan dalam keluarga.

“Semoga agenda Masuk Syurga Sekeluarga menjadi agenda besar rakyat Sabah,” katanya.- SINAR HARIAN

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *