Home » Langit Terbuka » 12,222 mangsa banjir kini di pusat pemindahan sementara

12,222 mangsa banjir kini di pusat pemindahan sementara

Salah sebuah pusat pemindahan banjir. Foto : merdeka-online.com

KUALA LUMPUR 5 Jan. – Seramai 12,222 mangsa banjir direkodkan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)  di Johor, Terengganu, Pahang dan Sabah sehingga tengah malam tadi.

Menurut portal NDCC, kesemua negeri mencatatkan peningkatan jumlah mangsa.

Jumlah paling ramai direkodkan adalah di Pahang dengan 9,873 orang mangsa, melibatkan 2,690 keluarga.

Menurut Portal Infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kuantan terus mencatatkan pertambahan mangsa yang dipindahkan dengan 7,802 orang di 31 PPS berbanding 7,797 orang malam tadi.

Ini diikuti Terengganu dengan 1,528 mangsa dari 373 keluarga.

Sabah pula mencatat jumlah 567 orang mangsa banjir, terdiri daripada 197 keluarga.

Sementara di Johor, seramai 262 mangsa banjir daripada 76 keluarga di Mersing dan Segamat masih berada di lima pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini.

Bernama melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat berkata, 239 orang daripada 70 keluarga berada di empat PPS di Mersing manakala 23 orang daripada enam keluarga ditempatkan di sebuah PPS di Segamat.

“Kawasan yang masih terjejas di Mersing membabitkan Air Papan, Kampung Pengkalan Batu, Kampung Air Merah dan Kampung Jemari.

“Seramai 77 orang berada di PPS Sekolah Kebangsaan Air Papan, PPS Pertubuhan Peladang Kawasan Endau (1), PPS Sekolah Agama Pengkalan Batu (131) dan PPS Balai Raya Kampung Air Merah (30),” katanya.

Ayub berkata kawasan yang terjejas di Segamat adalah Kampung Mensudut Lama dengan 23 orang daripada enam keluarga dipindahkan ke balai raya kampung berkenaan.- ASTRO AWANI

Artikel Berkaitan

Tiga mahasiswa USIM dakwah di New Zealand

SEREMBAN – Tiga mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meneruskan perjuangan dakwah penyebaran syiar Islam melalui latihan industri di Masjid Al Noor,

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *