Home » Langit Terbuka » Sampaikan pengertian Islam sebenar

Sampaikan pengertian Islam sebenar

Media tempatan berperanan sebagai medium penerangan – TPM

CYBERJAYA 2 Ogos – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu media tempatan khususnya stesen televisyen berperanan sebagai medium kepada kerajaan dalam menerangkan pengertian agama Islam sebenar menerusi program-program berbentuk keagamaan sedia ada dan baharu.

Menurutnya, pengisian program-program yang disiarkan hendaklah lebih terbuka kepada semua kaum dan bukan hanya tertumpu kepada umat Islam supaya maksudnya lebih mencapai matlamat.

“Namun ia bukan bertujuan untuk meminta orang bukan Islam menukar agama, tetapi untuk berikan gambaran Islam sebenar, Islam adalah kesejahteraan, Islam adalah tentang keamanan. Islam bukannya tentang terorisme mahupun berkelahi dengan agama-agama lain.

“Kita mahu Islam dihormati dengan makna yang sebenar dan pada waktu sama kita juga perlu faham yang setiap agama memin­ta kita menghormati sesama agama yang lain,” katanya semasa ber­ucap dalam majlis Hari Raya Aidilfitri TV AlHijrah di sini hari ini.

Ahmad Zahid seterusnya meng­galakkan semua stesen tele­visyen tempatan menjalin kerjasama da­lam melakukan dakwah dengan meneroka satu bidang baharu yang menjurus kepada penyampaian tentang agama Islam sebenar secara lebih baik.

“Meskipun setiap stesen televisyen mempunyai pengisian program yang berbeza tetapi fokus dan objektif untuk melakukan dakwah mesti berlandaskan Islam addin yang syumul, mudah-mudahan dakwah tentang Islam yang sebenar dapat dilakukan dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri menggalakkan TV AlHijrah untuk menjana pendapatan dengan lebih kreatif seperti stesen-stesen televisyen yang te­lah berjaya tanpa mengharapkan geran daripada kerajaan.

Beliau yakin TV AlHijrah akan terus mendapat sokongan terma­suk daripada pihak-pihak penaja sekiranya strategi pasaran dipertingkatkan menerusi kerjasama dengan stesen televisyen lain.

“Sebagai Pengerusi Majlis Halal Malaysia, saya akan berikan dokongan sepenuhnya kepada TV AlHijrah.

“Saya akan berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum Bajet Oktober ini agar syarikat-syarikat yang akan menjadi penaja untuk TV AlHijrah diberikan insentif penge­cualian cukai,” katanya.

Dalam majlis itu, Timbalan Perdana Menteri turut melawat tapak pameran Artifak Rasulullah SAW yang terletak di TV AlHijrah Big Studio dan beramah mesra de­ngan tetamu jemputan

www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *