Home » Langit Terbuka » Sayap baharu Pusat Pengajian Islam Oxford dirasmikan, Malaysia main peranan signifikan

Sayap baharu Pusat Pengajian Islam Oxford dirasmikan, Malaysia main peranan signifikan

Raja Charles mengulangi kepentingan pendidikan objektif, dialog, dan penghormatan antara budaya bagi merapatkan jurang serta membetulkan salah faham terhadap Islam di dunia Barat. - Astro AWANI

OXFORD: Raja Britain, Raja Charles III berkenan merasmikan sayap bangunan baharu yang dinamakan sempena nama Baginda di Pusat Pengajian Islam Oxford, bersempena ulang tahun ke-40 institusi tersebut.

Raja Charles antara lain bertitah meluahkan kekaguman Baginda melihat Pusat Islam tersebut berkembang pesat di dalam kekalutan dunia yang sudah jauh berubah, berbanding 40 tahun dahulu.

“Komitmen berterusan Pusat Islam ini dalam memupuk pengajian yang objektif dan kerjasama peringkat antarabangsa, yang dibina di atas prinsip dialog, kesefahaman mendalam dan sifat saling menghormati, merupakan sesuatu yang menjadi semakin penting dalam suasana dunia kita pada hari ini,” titah Raja Charles ketika merasmikan sayap bangunan baharu tersebut.
Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, Datuk Dr Afifi al-Akiti menyifatkan perkembangan terbaharu ini dengan mengambil kira kekalutan geopolitik dunia sekarang, adalah sesuatu yang membanggakan buat Malaysia.
“Sebagai rakyat Malaysia, saya amat berbangga kerana Malaysia telah menjadi salah satu sahabat setia kepada Oxford Centre for Islamic Studies, bukan sahaja melalui kewujudan Auditorium Malaysia – tempat di mana Raja Charles menyampaikan titah ucapan bersejarah Baginda – tetapi juga melalui Biasiswa Merdeka yang telah membuka peluang kepada rakyat Malaysia, sama ada Muslim mahupun bukan Muslim, untuk melanjutkan pengajian di Universiti Oxford.
“Malah, hampir kesemua Perdana Menteri Malaysia, daripada Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Razak, hingga Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah diberi penghormatan untuk berucap dalam Siri Syarahan Perdana anjuran pusat pengajian Islam ini – suatu siri syarahan yang telah dirasmikan oleh Raja Charles sendiri, yang ketika itu bergelar Putera Wales, pada tahun 1993 dengan syarahan bersejarahnya bertajuk ‘Islam dan Barat’,” kata beliau kepada Astro AWANI.
Raja Charles telah menjadi Penaung Pusat Islam ini semenjak tahun 1993 lagi, apabila Baginda menyampaikan syarahan bersejarah di Oxford, yang menekankan sumbangan besar tamadun Islam kepada dunia Barat.
Dalam titah syarahan Baginda pada tahun 1993 itu, Baginda pernah bertitah berkait usaha merapatkan kesefahaman antara dua dunia yang berdepan jurang meluas antara Islam dan Barat.
“Seandainya wujud begitu banyak salah faham di dunia Barat mengenai agama Islam, tidak kurang juga banyak kejahilan mengenai betapa terhutang budinya budaya dan tamadun Barat kepada dunia Islam.
“Beta merasakan kegagalan ini berpunca daripada warisan sejarah yang sempit untuk membentuk cara kita memahami tamadun lain,” titah Baginda pada waktu itu.

Artikel Berkaitan

Kesempurnaan cinta kemanisan iman

Dari Anas bin Malik R.A, Rasulullah SAW bersabda: :عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ

Siapakah Ibnu Batutah?

Ibnu Batutah adalah tokoh muslim asal Moroko yang lahir tahun 1304 M dan suka melakukan pengembaraan ke berbagai penjuru dunia. Nama penuhnya,

Sang Pengiring Muhammad SAW

Abu ‘Abd Allah Zubair ibn al-Awwam adalah seorang sahabat Rasulullah SAW. Beliau merupakan salah seorang “mubasyirin bil-jannah” (sepuluh sahabat yang dijamin masuk

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *