Home » Langit Terbuka » Sebar bahan IS: PDRM pantau akhbar dalam talian berbahasa Melayu

Sebar bahan IS: PDRM pantau akhbar dalam talian berbahasa Melayu

BAGAN DATOH 12 Julai – Individu yang memiliki dan menyebar bahan-bahan dakyah kumpulan militan Negara Islam (IS) daripada akhbar dalam talian berbahasa Melayu akan didakwa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bahagian Penerbitan Kementerian Dalam Negeri akan terus memantau akhbar berita dalam talian itu.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya belum memperoleh akhbar tersebut, namun sudah memiliki salinan isi kandungannya yang dicetak menerusi internet.

Akhbar ini cuba diedarkan di seluruh Asia Tenggara dengan tujuan mempengaruhi mereka yang bersimpati khususnya yang berbahasa Melayu.

“Saya menyeru orang ramai supaya tidak melayari atau mencetak bahan-bahan daripada akhbar berkenaan di Internet untuk sebaran dan jika ini dilakukan, maka tindakan undang-undang akan diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Perayaan Hari Guru Peringkat Daerah Hilir Perak di Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh di sini hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Dr. Muhammad Amin Zakaria.

Menurut Ahmad Zahid, lebih 90 peratus bahan-bahan dakyah IS disebarkan melalui media sosial dan menggunakan teknologi terkini kerana generasi muda mudah dipengaruhi menerusi kaedah itu.

Kata beliau, untuk itu Unit Khas di bawah Cawangan Khas PDRM akan memantau semua komunikasi dalam dan luar talian portal akhbar tersebut di internet.

“Mereka yang terlibat tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang oleh PDRM,” katanya.

Mengenai cadangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya dilaksanakan penggunaan visa ke atas pelawat dari negara Asia Barat ke Malaysia bagi mengekang ancaman IS, Ahmad Zahid berkata, beliau akan menimbangkan cadangan tersebut.

Katanya, beliau akan membawa cadangan itu ke Kabinet untuk mendapatkan pandangan jemaah Menteri kerana ia melibatkan kedatangan pelancong dari Asia Barat.

“Kita mempunyai hubungan baik dengan semua Jabatan Imigresen di seluruh dunia dan Asia Barat.

“Kita akan gunakan komunikasi dengan Jabatan Imigresen negara berkenaan untuk memantau kedatangan rakyat mereka ke negara ini sebelum pelancong dari Asia Barat perlu memohon visa untuk ke Malaysia,” katanya.

Mengenai tiga rakyat Indonesia yang dipercayai diculik kumpulan pengganas Abu Sayyaf baru-baru ini, Ahmad Zahid berkata, pihak berkuasa Malaysia sedia memberikan bantuan dan kerjasama.

“Kita telah menempatkan pegawai di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) di Sabah untuk membantu kes ini dan mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa Filipina yang memberikan maklumat secara terus,” katanya. – https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *