Home » Langit Terbuka » KDN siasat majalah hina Islam

KDN siasat majalah hina Islam

KUALA LUMPUR 12 Julai – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengenakan tindakan tegas terhadap penerbit dan pengedar sebuah majalah berbahasa Inggeris jika didapati menyalahi undang-undang dengan memaparkan fakta yang salah mengenai Islam.

Timbalan Menterinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pada masa ini pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci sama ada majalah terbabit mempunyai lesen yang sah dan berdaftar di bawah kementerian itu.

Katanya, ini termasuk memperhalusi isi kandungan majalah tersebut jika turut me­langgar garis panduan bahan penerbitan bercetak dan audio visual berhubung unsur-unsur yang bercanggah dengan akidah Islam.

“Kita sedang siasat majalah itu ada lesen atau tidak kerana banyak majalah menggunakan nombor pendaftaran palsu. Jadi kita mahu semak sama ada syarikat tersebut ada berdaftar di bawah KDN atau sebaliknya.

“Jika didapati bersalah lesen penerbitan majalah itu boleh ditarik balik serta-merta,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Persatuan Anak Muda Islam Malaysia (AMIM) meminta KDN menyekat segera penyebaran sebuah majalah berbahasa Inggeris, Cyberads yang memaparkan gambar Nabi Muhammad SAW selain menyiarkan fakta tidak tepat mengenai Islam.

Dalam pada itu, Nur Jazlan berkata, mereka yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (Pindaan) 2012.

Jelasnya, berdasarkan peruntukan akta itu, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda maksimum RM20,000. – https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *