Home » Langit Terbuka » Sekat pengaruh ekstremis melalui pendidikan wasatiyyah

Sekat pengaruh ekstremis melalui pendidikan wasatiyyah

gambar hiasan

Pengendali sekolah agama dan pondok mengakui sistem pendidikan berasaskan wasatiyyah menjadi kunci menyekat pengaruh kegiatan ekstremis dan militan Negara Islam (IS).

Selain itu, dana yang disumbang oleh pihak tertentu atau individu akan direkodkan dan sekiranya ada bantuan mencurigakan, laporan akan dibuat kepada jabatan agama Islam negeri.

Pengerusi Persatuan Institut Tahfiz al-Quran Negeri Selangor (PITAS), Ashri Lateh Al-Muqril, berkata pihaknya mempunyai sistem pendidikan yang memberi penekanan cintakan keamanan dan menghormati sesama manusia biarpun berlainan agama.

“Semua pensyarah yang mengajar, sememangnya dinilai dan ditapis latar belakang pendidikan bagi memastikan ilmu yang disampaikan tidak terpesong manakala pelajar diterapkan pendidikan Islam yang sebenar.

“Malah mengamalkan wasatiyyah atau kesederhanaan adalah perkara yang diutamakan bagi membolehkan kehidupan sebagai Islam yang sebenar dapat dilakukan secara syumul.”

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki, sebelum ini bahawa institusi agama dan pondok di negara ini, bebas daripada kegiatan ekstremis dan militan IS.

Keputusan itu diperoleh melalui pemantauan dan kajian Lembaga Penasihat Penyelaras Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) terhadap 172 pondok di seluruh negara.

Pemangku Pengetua Maahad Tahfiz al-Quran Masjid SAIDIAN Ali, Bukit Katil, Melaka, Siti Norawiyah Zakaria, berkata pihaknya menerapkan pendidikan yang betul dengan panduan berasaskan Islam.

“Kami juga membawa pelajar berjumpa dan bergaul dengan masyarakat tanpa mengira kaum setiap bulan bagi mendapatkan input mengenai situasi semasa dalam mendidik mereka secara kritis dan kreatif.

Selepas itu, mereka akan melakukan perbincangan di dalam kelas dengan bertukar pendapat dan pandangan sekali gus membuka minda mereka dalam melihat sesuatu yang baik dan buruk,” katanya.

Siti Norawiyah berkata, pihaknya yang menerima bantuan dari pelbagai agensi agama turut mendapat sumbangan daripada pelbagai pihak lain.

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *