Home » Langit Terbuka » Sekolah satu sistem : Serap sokong saranan Sultan Johor

Sekolah satu sistem : Serap sokong saranan Sultan Johor

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Sistem Sekolah Satu Aliran Demi Perpaduan (Serap) menyokong penuh saranan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berhubung kepentingan sekolah satu sistem di negara ini.

Ahli Jawatankuasa SERAP, Amirul Basiron, berkata saranan Sultan Johor itu amat tepat kerana sistem pendidikan berkenaan adalah platform berkesan untuk menerap dan memupuk nilai perpaduan di sesebuah negara dan permulaan untuk membentuk pemikiran serta identiti seseorang.

Katanya, SERAP juga beberapa kali membangkitkan isu sama pada pelbagai forum yang membincangkan sistem persekolahan di Malaysia kerana agak sukar memahami, menghormati dan mengintegrasikan budaya atau sensitiviti kaum lain jika rakyat hanya bergaul dengan rakan sebangsa sejak kecil.

“Bagi SERAP, pemimpin perlu ada semangat politik untuk sistem pendidikan dirombak supaya kepentingan semua kaum dapat dipenuhi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Minggu lalu, Sultan Ibrahim sekali lagi menekankan kepentingan sistem pendidikan satu aliran pada pertemuan baginda dengan pemimpin persatuan Cina di Johor Bahru dan percaya perpaduan kaum belum berjaya sepenuhnya kerana masih wujud pendidikan asas atau sekolah rendah dipisahkan mengikut kaum.

Amirul turut merujuk kenyataan Profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia dan EXCO Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong yang menegaskan hanya tiga aliran pendidikan di negara ini yang relevan daripada tujuh yang ada.

Tujuh aliran itu ialah sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama, sekolah swasta, sekolah persendirian Cina, sekolah antarabangsa dan belajar sendiri.

Kok Seong dilaporkan berkata, tiga aliran yang relevan itu perlu digabungkan menjadi sekolah satu aliran dengan mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama, manakala bahasa Mandarin dan Tamil juga boleh diajar selain menghimpunkan subjek agama.

Amirul berkata, walaupun Malaysia menyambut Hari Kebangsaan ke-59 tahun ini, masih ada rakyat tidak lancar atau fasih bercakap dalam bahasa Melayu sedangkan ia adalah bahasa kebangsaan, namun masalah itu dapat diatasi dengan mengamalkan persekolahan satu sistem.

“Bak kata pepatah Melayu, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’, SERAP percaya generasi muda di Malaysia harus bercampur dalam satu sistem pendidikan yang seragam,” katanya.

Selain Amirul, SERAP yang memperjuangkan sistem sekolah satu aliran, dipengerusikan oleh Shahril Hamdan bersama ahli jawatankuasa terdiri daripada Idzham Hashim, Mohd Azfar Ariff, Firdaus Samad dan Dr Mohd Rizal Abd Rahman.

https://www.bharian.com.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *