Home » Langit Terbuka » Sekolah tahfiz digesa daftar, dapat manfaat demi keselamatan pelajar

Sekolah tahfiz digesa daftar, dapat manfaat demi keselamatan pelajar

Imbas kembali kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat, Kuala Lumpur pada tahun lepas.

KUALA LUMPUR – Sekolah tahfiz yang belum mendaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing digesa berbuat demikian bagi memastikan institusi mereka mendapat manfaat daripada peruntukan kerajaan terutamanya dalam aspek penambahbaikan sistem pendawaian bangunan.

Gesaan itu dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, kerana kebanyakan sekolah tahfiz mempunyai masalah pendawaian elektrik yang agak kritikal dan memerlukan pembaikan serta pendawaian segera bagi mengelak insiden kebakaran.

Katanya, GiatMara diberi tanggungjawab membaik pulih serta menyelenggara sistem pendawaian semua sekolah tahfiz berdaftar di seluruh negara melalui peruntukan RM50 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2018 pada Oktober tahun lepas di Dewan Rakyat.

“Kita tumpukan kepada aspek pendawaian kerana ini penting dalam menjamin keselamatan bangunan, pelajar serta kakitangan. Tumpuan diberikan kepada perkara ini untuk elak insiden tidak diingini berulang.

“Ada sekolah tahfiz perlukan bantuan asas bangunan dan kita (kerajaan) akan tengok satu-persatu. Apa yang penting, kita minta yang mana belum berdaftar, segeralah berbuat demikian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Tahfiz Kebangsaan 2018 di sini hari ini.

Mengenai Dasar Pendidikan Tahfiz Negara yang dicetuskan Najib, Jamil Khir berkata, sudah tiba masanya institusi tahfiz diperkasakan bukan sahaja menumpukan bidang hafazan malah pelajarnya sekurang-kurangnya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi melayakkan mereka memasuki institusi pengajian tinggi.

“Saya difahamkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan menerima pelajar lepasan sekolah tahfiz yang berdaftar di seluruh negara bagi menyambung pengajian di universiti itu. GiatMara pula menawarkan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET),” katanya.

Justeru, Jamil Khir yakin selain peruntukan daripada kerajaan, segala peluang yang diberikan pelbagai pihak akan membuka ruang kepada pelajar tahfiz untuk menjawat jawatan profesional berbekalkan kekuatan jati diri agama.

Dasar Pendidikan Tahfiz Negara menyasarkan 125,000 huffaz profesional yang menguasai pelbagai disiplin ilmu seperti kedoktoran, kejuruteraan, perakaunan, perbankan, dan seni bina dilahirkan menjelang 2050 di bawah gagasan Transformasi Nasional 2050 (TN50).-Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *