Home » Langit Terbuka » Selaraskan institusi pendidikan Islam bawah satu badan

Selaraskan institusi pendidikan Islam bawah satu badan

KUALA LUMPUR 23 Julai – Semua institusi pendidikan Islam di negara ini perlu diselaraskan semula di bawah satu badan pentadbiran bagi mengawal sistem pengajian di sekolah-sekolah berkenaan.

Timbalan Pengerusi Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (Lepai), Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid berkata, Lepai boleh diberi tanggungjawab dalam penyelarasan itu kerana institusi-institusi pengajian pondok, pusat-pusat pengajian tahfiz dan sekolah-sekolah al-Quran pada masa ini tidak di­letakkan di bawah satu bumbung.

Katanya, pada masa ini Lepai sedang menye­mak semula kurikulum pengajian Islam termasuk di peringkat prasekolah yang dijangka siap pada tahun ini.

“Usaha ini dilaksanakan de­ngan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melibatkan pakar-pakar dalam bidang pengajian Islam supaya kita boleh memberi pilihan kepada sekolah-sekolah berkenaan untuk memilih bentuk kurikulum yang ditentukan dan disediakan di peringkat negeri, Persekutuan atau Jakim sahaja.

“Kita mahu sekolah-sekolah pendidikan agama ini berkembang secara boleh dikawal supaya Islam dilihat dari sudut positif,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung usaha bagi menyelesaikan masalah kumpulan pengganas Daesh yang mesti dilakukan di peringkat akar umbi dengan mengkaji semula sistem pendidikan agama di sesetengah insti­tusi bagi mengesan jika terdapat kelemahan yang mengakibatkan sekumpulan individu terjerumus ke lembah ekstremisme.

Dalam pada itu, Mahmood Zuhdi yang juga Pengerusi Majlis Dakwah Negara menjelaskan, usaha mengekang ancaman Daesh tidak hanya dibuat dengan mengkaji semula sistem pendidikan agama tetapi perlu digerakkan dengan langkah memperkukuhkan perpaduan umat Islam.

Katanya, kerjasama rapat dengan semua pihak berkaitan sedang dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada mempertingkatkan nilai pendidikan Islam supaya masyarakat Islam lebih bersikap positif.

Menyokong pendapat sama, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr. Yusri Mohamad berkata, kemunculan banyak fahaman songsang adalah berpunca daripada salah faham terhadap agama Islam yang boleh dikaitkan dengan pendidikan agama yang tidak mantap.

Sehubungan itu, beliau berkata, adalah wajar untuk mengkaji semula sistem pendidikan agama untuk mencari ruang kelemahan dalam sukatan pembelajarannya.

“Saya lihat dalam pendidikan agama, penekanan dalam semua aspek tidak dilaksanakan secara menyeluruh, tidak seimbang dan bersepadu. Sebagai contoh, aspek akhlak dan akidah kurang diberi penekanan berbanding syariah dan fikah bagi menjawab persoalan agama yang lebih besar.

“Namun demikian, kita juga perlu melihat aspek lain yang menyebabkan masyarakat terpengaruh dengan ideologi songsang Daesh kerana mereka yang terjebak bukan ramai berlatar belakang pendidikan agama, tetapi ada antara mereka mengalami tekanan hidup dan sebagainya,” katanya.

–  https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Majlis Hari Raya Aidilfitri Muhibah Madani

GOLONGAN bukan Muslim didekati YADIM menerusi pelbagai program dan pendekatan dakwah. YADIM Negeri Selangor umpamanya dengan kerjasama tiga rakan strategik iaitu MACMA,

SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI

  SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI merupakan sebuah program yang dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik YADIM Negeri Sembilan dan Melaka iaitu Institut Pendidikan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *