Home » Langit Terbuka » Liberalisme: Usaha tingkat kefahaman Islam sebenar di kalangan rakyat perlu diperkasakan

Liberalisme: Usaha tingkat kefahaman Islam sebenar di kalangan rakyat perlu diperkasakan

KUALA NERUS, 21 Julai – Usaha meningkatkan kefahaman mengenai Islam yang sebenar perlu dipergiatkan bagi menangani ancaman liberalisme yang semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerajaan kini berdepan cabaran besar penyebaran ideologi songsang yang berleluasa seiring kemajuan teknologi dunia tanpa sempadan.

“Kita hari ini berdepan dengan dua bentuk kelampauan mengenai ekstrimisme, yang pertama radikal eksterisme yang bersifat ganas dan radikal seperti Daesh yang hari ini masuk ke dalam masyarakat melalui laman sosial yang mempengaruhi individu.

“Yang kedua ialah yang bersifat liberal ekstrimisme yang cuba mencabut asas-asas yang membina negara ini yang berpandukan kepada agama, (ada pihak) cuba bercakap hak asasi manusia tanpa batasan, cuba mendefinasikan agama mengikut hawa nafsu walhal negara kita sejak merdeka telah meletakkan Islam itu sebagai agama persekutuan yang menjadi teras kepada kekuatan negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Ancaman Pelampau Liberalisme Terhadap Masyarakat Islam Malaysia di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini. Turut hadir ialah Naib Canselor UniSZA, Datuk Dr Ahmad Zubaidi A Latif.

Seramai 600 peserta terdiri pelajar dan kakitangan UniSZA serta dari pelbagai agensi menyertai seminar tersebut.

Sehubungan itu, Asyraf Wajdi mahu penerangan tentang kefahaman Islam sebenar diperhebatkan dengan penglibatan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta kerjasama jabatan agama islam di setiap negeri dan pihak polis agar ancaman liberalisme tidak mampu mempengaruhi rakyat negara ini.

“Kita bimbang ancaman liberalisme ini akan memudaratkan keamanan negara seperti berlaku di Turki minggu lepas yang dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu yang ingin menghuru-harakan negara.

“Kita ambil iktibar, muhasabah dan pada masa sama mengekalkan keamanan sedia ada dengan menghormati Perlembagaan Negara dan tidak mencabar asas-asas prinsip yang terkandung di dalamnya,” kata beliau. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *