Home » Persuasif » Selawat ke atasmu ya Rasulullah SAW, memperingati akhlakmu

Selawat ke atasmu ya Rasulullah SAW, memperingati akhlakmu

sumber

Dahulu, apabila ditanyakan kepada kita siapa idola kita dalam hidup ini? Ramai yang menjawab, idola saya adalah…sekian…sekian dan lazimnya, ramai yang memilih artis sebagai idola.

Idola maksudnya orang yang sangat diminati (dikagumi). Lantaran artis sering menjadi perhatian di dada akhbar dan majalah pada masa itu, sudah tentu mereka jugalah yang paling diminati. Ada satu tahap, sesetengah artis ini menjadi kegilaan dan digilai secara berlebihan  sehingga ada yang menampal gambar-gambar artis pujaan di dinding bilik dan rumah, membeli kaset dan cakera padat dan meniru gaya artis tersebut. Tidak salah, itu hak masing-masing. Cuma sebagai umat Islam, kita tidak digalakkan berlebih-lebihan.

Namun, apabila masa beredar dan kesedaran Islam semakin menebal dalam diri masyarakat, ramai yang telah sedar bahawa idola yang harus dikagumi oleh umat Islam sudah tentulah Rasul junjungan kita iaitu Nabi Muhammad SAW. Baginda adalah role model terbaik kepada seluruh manusia. Baginda adalah tokoh paling berpengaruh sepanjang zaman.

Bagindalah yang sewajarnya menjadi ikutan dan contoh teladan dalam kehidupan. Setiap 12 Rabiulawal kita menyambut dan meraikan ulangtahun kelahiran Baginda. Bersyukur kerana ramai yang mempamerkan kecintaan kepada permata hati Islam yang amat berharga ini.

Sambutan Maulidur Rasul tahun ini dilihat sangat istimewa kerana hampir dengan sambutan tahun baru 2016. Sebagaimana yang pernah berlaku pada tahun 2013. Selalunya awal tahun menjadi titik perubahan untuk meneruskan kehidupan dengan semangat dan azam baru.

Justeru, kehadiran Maulidur Rasul di penghujung tahun 2015 ini diharap akan menjadi penanda aras untuk membentuk kehidupan yang lebih bermakna dan diberkati. Malah yang paling penting adalah menjadikan keraian ini sebagai sesuatu yang boleh memberi pengaruh yang berharga dalam hidup kita.

Merayakan ulangtahun kelahiran baginda sahaja dengan berselawat dan berarak memang tidak mencukupi. Itu salah satu tetapi kaedah untuk menyerap semangat Baginda dan kecintaan Baginda terhadap Islam itulah yang paling penting.

Jika dilihat dalam konteks negara, kehadiran Maulidur Rasul juga memberikan makna tersendiri. Di tengah pelbagai kemelut yang dihadapi oleh rakyat ketika ini seperti kos sara hidup yang semakin tinggi, kegiatan jenayah yang semakin berleluasa, gejala sosial yang terus meningkat dan menggusarkan, pertelingkahan politik dan serangan ideologi liberal, Syiah, Islam progresif dan sebagainya, sudah tiba masa seluruh pihak termasuk pemimpin, penguasa, ahli politik, pentadbir, ilmuan, ulama, cendekiawan, belia, rausyanfikir, pendidik dan aktivis memikirkan solusi yang paling berkesan untuk mengatasi semua permasalahan tersebut.

Oleh sebab itu, mencontohi akhlak dan peribadi itu adalah amalan terbaik dalam usaha mencari penyelesaian ummah. Menyerap semangat dakwah Baginda juga adalah amat dituntut. Meneladani ibadah Baginda yang tidak pernah berkurangan walaupun bergelar maksum dan telah dijanjikan syurga oleh Allah SWT adalah kebiasaan yang boleh kita mula terapkan dalam aktiviti seharian sebagai umat Baginda. Jangan kita hanya berkata bahawa Baginda adalah idola kita tetapi sunnah Baginda langsung jauh daripada amalan seharian kita.

Firman Allah SWT yang bermaksud “Dan sesungguhnya engkau memiliki akhlak yang mulia.” (al-Qalam 68: 4)

Kita pernah menekuni liku perjalanan yang telah dilalui oleh Rasulullah dalam menyebar amanah dakwah. Cabarannya bukan sedikit. Ujiannya bukan kecil. Namun ujian-ujian tersebut tidak pernah sesekali menyurutkan semangat juang Baginda. Salah satu kunci kejayaan Rasulullah dalam mengembangkan tugas mulia ini adalah keperibadian luar biasa yang dimiliki Baginda. Aspek inilah yang harus menjadi perhatian kita terutama sekali para pemimpin.

Sebagaimana yang kita ketahui, sifat-sifat Rasulullah ada empat iaitu pertama, siddiq (benar). Sifat siddiq yang ada dalam diri Baginda merupakan kunci dalam meraih kejayaan. Orang yang berkata-kata  dan berperlakuan jujur akan memudahkan dirinya dalam melakukan aktiviti hariannya. Inilah yang menyebabkan Rasulullah SAW berjaya dalam melaksanakan misi dakwah sehingga lahirlah umat yang terbaik (khairu ummah) dalam sejarah panjang kehidupan manusia. Malah kejujuran inilah yang menarik minat orang bukan Islam untuk memilih Islam sebagai agama mereka.

Kedua, adalah fathanah (cerdas) yang menghiasi peribadi Rasulullah SAW dalam menjalani kehidupan dan juga menyelesaikan masalah. Dalam menyelesaikan masalah, Rasulullah SAW berusaha menyelesaikan masalah tersebut dengan kebijaksaan tanpa menimbulkan masalah baharu. Baginda tidak hanya bersandarkan kepada akal fikiran semata-mata dalam menyelesaikan masalah, tetapi juga berpandukan kepada hati dalam memutuskan sesuatu perkara. Jangkaan di masa hadapan dan akibat yang ditimbulkan dalam setiap kejadian menjadi pertimbangan penting dalam memutuskan sesuatu perkara. Terdapat banyak peristiwa sukar yang dihadapi oleh Rasulullah SAW namun dapat diselesaikan dengan cerdas sehingga memperolehi hasil yang memuaskan. Sebagaimana dalam siri-siri peperangan yang diketuai oleh Baginda yang memerlukan kepada keputusan yang pantas dan bijak.

Ketiga, tabligh (menyampaikan kebenaran). Sifat inilah yang dimiliki Rasulullah SAW dalam mentadbir dan membangun negara. Rasulullah SAW terlebih dahulu membangun masyarakat Makkah ketika itu. Melalui dakwah yang konsisten dan sistematik, masyarakat berjaya merasai dakwah Baginda dan seterusnya turut berusaha menyampaikan kebenaran dan kebaikan pada orang lain sehingga lahirlah umat yang menjunjung nilai kebaikan dan kebenaran.

Keempat adalah amanah. Keberhasilan misi dakwah Rasulullah juga disebabkan oleh sifat amanah yang dimiliki oleh Baginda sehingga digelar sebagai Al-Amin. Sifat amanah ini ternyata berjaya memikat hati umat dalam menerima dakwahnya. Begitu juga dengan sifat amanah dalam mengusahakan perniagaan Siti Khadijah, menyebabkan Saidatina Siti Khadijah memilih Baginda sebagai suaminya.

Sesungguhnya, di dalam diri Baginda Rasulullah SAW itu amat sempura untuk kita jadikan Baginda sebagai suri tauladan dalam segenap aspek kehidupan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah SAW itu teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharapkan rahmat Allah dan (kedatangan) hari Kiamat serta yang banyak mengingati Allah.” (al-Ahzab 33:21)

Akhlak dan sikap kita adalah tunjang kepada segala amal perbuatan kita di dunia ini. Segala permasalahan ummah yang berlaku akhir-akhir ini juga didorong oleh sikap manusia itu yang pelbagai rencam.

Sempena kehadiran Maulidur Rasul 1437H ini, marilah kita bersama-sama bermuhasabah untuk mencari penyelesaian yang membelenggu umat Islam pada hari ini. Kita sudah memiliki rujukan terbaik iaitu al-Quran al-Karim dan kita juga memiliki idola paling hebat yang menjadi kekaguman semua penganut agama iaitu Nabi Muhammad SAW. Seraplah semangat juang Baginda. Kutiplah segala saranan Baginda melalui hadis-hadis Baginda untuk kita mula mengorak langkah mengembalikan kegemilangan umat Islam.

Selawat dan salam ke atasmu, wahai junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.

Susunan Editor.

Artikel Berkaitan

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *