Home » Citra Yadim » Ketakwaan sebagai asas utama dalam kehidupan

Ketakwaan sebagai asas utama dalam kehidupan

Dari kiri: S.S. Datuk Zulkifli Al-Bakri, Kapten Dr. Shamsudin Moner dan Prof. Madya Dr. Mastura Badzis.

KUALA LUMPUR, 21 Disember – Cabaran dalam menghadapi kehidupan pada hari ini, ternyata amat berbeza daripada dahulu. Lebih-lebih lagi kepada institusi kekeluargaan yang memerlukan kepada pengukuhan dalaman bagi melahirkan keluarga yang bahagia.

Disebabkan itu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) telah menganjurkan program Bicara Sakinah yang mengupas tentang peranan yang perlu dimainkan oleh setiap ahli keluarga dalam membangunkan keluarga Islam contoh. Selain turut mengupas isu-isu lain termasuk isu perundangan keluarga Islam dan pengurusan kewangan.

Seramai 500 orang peserta telah hadir pada program ini yang merupakan kesinambungan program yang telah dianjurkan sejak tahun 2014.

Pada program itu, dua sesi ceramah diadakan bermula dengan slot bertajuk `Melahirkan Keluarga Sakinah Melalui Perundangan Keluarga Islam’ oleh Timbalan Naib Cancelor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datin Noor Aziah Mohd Awal.

Slot kedua pula bertajuk `Cukup Wang Hati Tenang’ oleh Perunding Utama Hijrah Wealth Management Sdn. Bhd., Rohani Dato’ Shahir yang menyentuh isu-isu berkaitan pengurusan kewangan keluarga.

Manakala dalam satu slot forum yang bertajuk ‘Keluarga Mithali Impian Kita’, Sahibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan telah menjelaskan tentang empat elemen yang menyangkut tentang maksud sifat takwa di dalam kehidupan manusia.

Empat elemen tersebut adalah berasa takut kepada Allah SWT, beramal dengan apa yang ada di dalam al-Quran al-Karim, redha dengan rezeki Allah SWT walaupun sedikit dan membuat persediaan untuk bekalan di akhirat kelak.

Ketakwaan inilah yang seharusnya menjadi asas utama dan dipasakkan di dalam hati dan jiwa setiap umat Islam dalam membentuk sebuah keluarga yang bahagia. Di samping mampu mewujudkan hubungan yang ampuh dan seterusnya mampu merasai kebahagiaan yang hakiki.

Turut bersama dengan beliau adalah Prof. Madya Dr. Mastura Badzis, Pensyarah Institut Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Sesi forum dikendalikan oleh Kapten Dr. Shamsudin bin Moner, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaran Yadim.

Sementara itu, YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Hj Baharom (B) dalam ucapan perasmiannya melahirkan harapan agar program Bicara Sakinah ini mampu memberi kefahaman dan impak yang menyeluruh kepada para peserta dalam konteks mewujudkan cara hidup Islam yang sebenar.

Beliau berkata, masyarakat Islam pada hari ini ternyata menghadapi cabaran yang pelbagai dalam kehidupan berkeluarga termasuk kekeliruan dalam memahami fahaman-fahaman baharu yang semakin menular seperti liberalisme, pluralisme dan LBGT.

Yang turut hadir adalah Yang Dipertua Yadim, Dr. Yusri Mohamad.

dryusribicarasakinah

Artikel Berkaitan

Majlis Hari Raya Aidilfitri Muhibah Madani

GOLONGAN bukan Muslim didekati YADIM menerusi pelbagai program dan pendekatan dakwah. YADIM Negeri Selangor umpamanya dengan kerjasama tiga rakan strategik iaitu MACMA,

SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI

  SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI merupakan sebuah program yang dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik YADIM Negeri Sembilan dan Melaka iaitu Institut Pendidikan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *