Home » Langit Terbuka » Selesai krisis Rohingya sekarang, Dr M gesa komuniti antarabangsa

Selesai krisis Rohingya sekarang, Dr M gesa komuniti antarabangsa

Selain menghulurkan bantuan kemanusiaan, Malaysia turut mengendalikan hospital lapangan di Cox’s Bazar serta turut membenarkan penempatan hampir 100,000 pelarian Rohingya berdaftar, kata Perdana Menteri. - Foto Anadolu

NEW YORK – Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membuat seruan yang tegas kepada komuniti antarabangsa supaya meletakkan krisis Rohingya sebagai keutamaan dengan tujuan bagi menyelesaikannya sekarang.

Bercakap dalam penampilan pertama sejak tiba di New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Sesi ke-74, beliau berkata adalah jelas kerajaan Myanmar tidak bersedia mengambil sebarang tindakan untuk menyelesaikan krisis itu.

“Sehubungan itu, terpulanglah kepada kita – masyarakat antarabangsa, untuk melakukan sesuatu mengenai situasi ini,” kata Mahathir pada acara sampingan peringkat tinggi mengenai ‘Krisis Rohingya – Menuju Ke Hadapan’ yang berlangsung di ibu pejabat PBB, pada 24 September.

Sebagai permulaan, beliau berkata PBB perlu memainkan peranannya dengan mengambil kira ia diwujudkan dengan harapan dapat menghalang kesengsaraan perbuatan manusia di masa depan.

“Tetapi tindakan membisu (berhubung isu Rohingya) ini adalah memekakkan telinga,” katanya, kepada badan dunia itu yang akan mengadakan perhimpunan tahunan minggu ini.

Mahathir juga tidak menyembunyikan kata-katanya mengenai apa yang berlaku di negeri Rakhine barat Myanmar di mana etnik Islam Rohingya melarikan diri beramai-ramai untuk mencari perlindungan dan keselamatan diri.

“Marilah kita mulakan dengan bercakap yang benar.Apa yang berlaku di negeri Rakhine ialah pembunuhan beramai-ramai, perkosaan secara sistematik dan lain-lain pencabulan hak asasi manusia,” katanya pada majlis itu yang turut dihadiri rakan sejawatan dari Bangladesh, Sheikh Hasina Wazed.

Mahathir berkata ini menyebabkan etnik Rohingya melarikan diri dari negara itu secara beramai-ramai, dan paling banyak berakhir di Cox’s Bazar di Bangladesh.

“Berhubung perkara ini, kami memuji Bangladesh untuk semua yang dilakukannya, dalam menjadi tuan rumah kepada lebih 1.2 juta pelarian Rohingya,” kata Mahathir sambil menambah, Malaysia pada pihaknya juga berusaha untuk melakukan apa sahaja yang boleh.

Selain menghulurkan bantuan kemanusiaan, Malaysia turut mengendalikan hospital lapangan di Cox’s Bazar serta turut membenarkan penempatan hampir 100,000 pelarian Rohingya berdaftar, dan ramai lagi yang tidak berdaftar.

“Walaupun bilangan ini kecil jika dibandingkan Bangladesh, banyak sumber yang didedikasikan bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan yang baik sementara menanti penempatan semula di negara ketiga. Kami akan terus membantu Rohingya berdasarkan keupayaan dan kemampuan kami,” janji beliau.

Dalam mesejnya kepada negara lain, Mahathir berkata: “Kami berharap negara lain akan turut menyertai kami dan Bangladesh dalam usaha kami untuk menamatkan kesengsaraan yang menimpa etnik Rohingya. Kita harus menghentikan krisis ini dan kita harus lakukan sekarang.”

Perdana menteri juga menegaskan lebih lama pelarian itu tinggal di kem sementara, keadaan mereka akan semakin terdesak. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *