Home » Citra Yadim » Seminar Himpun Tokoh Kepimpinan, Pakar Keselamatan Dan Aktivis Masyarakat Bincang Isu Geopolitik Semasa

Seminar Himpun Tokoh Kepimpinan, Pakar Keselamatan Dan Aktivis Masyarakat Bincang Isu Geopolitik Semasa

JITRA- Seminar Antarabangsa Geopolitik dan Perubahan Global yang berlangsung sempena Ijtimak Harakiy Kedah Kali Ke-8, telah menghimpunkan tokoh kepimpinan, pakar keselamatan dan aktivis masyarakat bagi membincangkan perkembangan geopolitik semasa serta kesannya terhadap masa depan Malaysia dan dunia Islam.

Seminar pada 12 September yang diadakan di Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Jitra itu dianjurkan dengan kerjasama YADIM, WADAH, ABIM, PKPIM Negeri Kedah, Institut Aminuddin Baki dan Akademi Kenegaraan Malaysia. Penolong Pengarah YADIM Kedah, Ustaz Mohamad Bilal bin Mohd Zain, hadir mewakili YADIM dalam program ini.

Setiausaha Agung WADAH, Haji Azizudin Ahmad, menyampaikan ucaptama bertajuk “Perubahan Tatanan Dunia dan Masa Depan Malaysia & Dunia Islam”, manakala Pengerusi WADAH Kedah merangkap Wakil Pimpinan Wadah-ABIM-PKPIM, Dr. Amir Mohd Nason telah menyampaikan ucapan aluan.

Perbincangan diteruskan menerusi wacana khas bertajuk “Ancaman Luar Yang Membawa Perpecahan Dalaman Masyarakat Malaysia dan Implikasi terhadap Politik Semasa”. Ia menampilkan Asisten Supritendan Syafarin Ahmad Fuat dari Polis Diraja Malaysia Negeri Kedah, Encik Ayub Ahmad dari Akademi Kenegaraan Malaysia dan Presiden MAPIM, Cikgu Azmi Abdul Hamid sebagai panel, manakala Pengerusi Sofwah WADAH Kedah, Ustaz Azfar Abdullah bertindak sebagai moderator.

Seminar berkenaan turut disusuli persidangan tahunan badan-badan gabungan yang merangkumi Muktamar WADAH Ke-20, Muktamar Belia Islam Ke-54 dan Majlis Persidangan Agung Tahunan PKPIM Kedah Ke-11.

Penglibatan YADIM Kedah dalam program berkenaan turut membuka ruang untuk perkongsian pandangan dan perbincangan bersama pelbagai pihak mengenai perkembangan geopolitik, isu keselamatan serta cabaran yang memberi kesan kepada masyarakat Malaysia dan dunia Islam.

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *