Home » Langit Terbuka » Seorang maut, 56 cedera ditembak Israel

Seorang maut, 56 cedera ditembak Israel

GAZA CITY 30 Dis. – Seorang lelaki terbunuh manakala 56 lagi rakyat Palestin cedera ditembak oleh tentera Israel dalam pertempuran terbaharu di Tebing Barat dan Gaza.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qudra berkata, Jamal Muslih, 20, dari khemah pelarian Al-Bureij di pusat Gaza, meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialami ketika menyertai demonstrasi semalam.

Kematiannya sekali gus mening­katkan jumlah rak­yat Palestin yang terbunuh kepada 13 orang sejak Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel pada 6 Disember lalu.

Menurut sumber, tentera Israel turut membedil Semenanjung Gaza dengan tembakan kereta kebal dan serangan udara selepas roket dari kawasan Palestin dikatakan menyasarkan wilayah rejim zionis itu.

Tentera Israel turut melepaskan tembakan semasa pertempuran di beberapa buah bahagian wilayah tepi pantai, mencederakan 40 orang dengan empat daripada mereka parah.

Rejim zionis berkata, serangan itu kononnya sebagai tindak balas kepada 2,000 penunjuk perasaan yang membaling batu dan bom api ke arah anggotanya di sempadan dengan wilayah Palestin.

Di Tebing Barat pula, kementerian kesihatan Palestin berkata, sekurang-kurangnya 16 orang cedera apabila tentera Israel menembak peluru hidup kepada penunjuk perasaan.

Israel dilaporkan melancarkan serangan udara di Semenanjung Gaza selepas pejuang Palestin melepaskan tiga roket di selatan Israel, dua daripadanya dipintas sistem pertahanan udaranya.

Polis berkata, roket ketiga mengenai sebuah struktur berhampiran Gaza menyebabkan kerosakan, tetapi tiada kematian dilaporkan. – AFP, Utusan

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *