Home » Langit Terbuka » Siasatan Elemen ‘Sexual Grooming’ Terhadap Lelaki Kahwini Kanak-Kanak Thailand – TPM

Siasatan Elemen ‘Sexual Grooming’ Terhadap Lelaki Kahwini Kanak-Kanak Thailand – TPM

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kerajaan menganggap pasangan berkenaan sebagai tidak berkahwin selagi tiada bukti dikemukakan.

PUTRAJAYA – Lelaki warga Malaysia berusia 41 tahun yang didakwa mengahwini kanak-kanak perempuan 11 tahun warga Thailand kini disiasat di bawah elemen antun atau ‘sexual grooming’ yang adalah satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kerajaan menganggap pasangan berkenaan sebagai tidak berkahwin selagi tiada bukti dikemukakan.

Ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Keluarga dan Masyarakat Bersama Kumpulan Sasar kementerian di sini, hari ini, beliau berkata, lelaki berkenaan bertanggungjawab untuk membuktikan status perkahwinan yang sah kepada pihak berkuasa.

“Interaksi di antara lelaki dan kanak-kanak berkenaan adalah tertakluk kepada pelbagai undang-undang mengenai perlindungan kanak-kanak. Pada masa ini, penyiasatan terhadap kes ini masih berlangsung. Pegawai-pegawai saya sedang bekerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan dan kementerian berkenaan untuk memperhalusi kes ini dengan lebih teliti,” katanya.

Berita perkahwinan ketiga lelaki itu dengan kanak-kanak perempuan 11 tahun berkenaan tular di media sosial pada Sabtu lepas menyebabkan Jabatan Kebajikan Masyarakat menyiasat perkara itu.

Dr Wan Azizah berkata kerajaan ingin melindungi kebajikan kanak-kanak yang tinggal di Kelantan itu dan akan memberikan bantuan perubatan dan kaunseling profesional bagi membantunya menghadapi situasi itu biarpun kanak-kanak itu seorang warganegara Thailand atas dasar semua kanak-kanak perlu dibela.

Katanya, pegawai yang menyiasat kes berkenaan telah berjumpa dengan kanak-kanak itu dan isteri kedua lelaki berkenaan yang membuat aduan. Bagaimanapun, lelaki berkenaan masih belum ditemui.

“Ibu kepada kanak-kanak itu merupakan pekerja di restoran milik isteri pertama lelaki tersebut dan lelaki berkenaan berjanji untuk ‘menjaga’ keluarga berkenaan dari segi kewangan. Kanak-kanak itu hanya berpendidikan tadika sahaja. Ibu bapa itu juga mendakwa lelaki berkenaan hanya akan bersama dengan kanak-kanak itu lima tahun dari sekarang namun kanak-kanak itu perlu menjalani pemeriksaan,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata kerajaan sangat komited untuk membanteras isu perkahwinan kanak-kanak pada masa akan datang dan beliau telah mengarahkan pegawainya membincangkan termasuk menaikkan had umur minimum untuk berkahwin kepada 18 tahun untuk lelaki dan wanita.

Di bawah Enakmen Keluarga Islam yang dikuatkuasakan di semua negeri, usia minimum (untuk berkahwin) bagi lelaki adalah 18 tahun manakala bagi perempuan adalah 16 tahun . Perkahwinan bawah umur hanya dibenarkan dengan kebenaran mahkamah, Ketua Menteri atau Menteri Besar.

Dr Wan Azizah berkata pagi ini beliau mengadakan satu mesyuarat dalam kapasiti sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang dihadiri wakil daripada Jabatan Peguam Negara, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Badan Peguam Malaysia, aktivis sosial Syed Azmi Alhabshi serta pegawai-pegawai kanak-kanak agensi di Putrajaya dan Kelantan.

“Mesyuarat telah dimaklumkan bahawa pasangan tersebut menetap di Kelantan. Walau bagaimanapun JAHEIK dilaporkan tidak mempunyai rekod pendaftaran perkahwinan tersebut. Berdasarkan laporan media dan kenyataan oleh isteri kedua lelaki berkenaan adalah dipercayai bahawa pernikahan tersebut telah dilaksanakan di Golok, Thailand,” katanya.

Beliau berkata sehingga hari ini pihak berkuasa masih belum mendapat bukti bahawa pernikahan itu telah berlangsung di Golok seperti didakwa.

“Namun, sehingga hari ini, tiada kelulusan berkaitan telah dimohon sama ada oleh pasangan atau ibu bapa kanak-kanak berkenaan maka tiada kelulusan telah diberikan untuk membolehkan perkahwinan itu berlangsung seperti didakwa,” katanya.

Dr Wan Azizah meminta semua pihak termasuk media dan pengguna media sosial untuk memberi ruang kepada pihak yang terlibat dengan situasi itu dengan tidak menyebarkan gambar dan maklumat terutamanya kanak-kanak warga Thailand itu untuk tidak menjejaskan siasatan yang sedang berlangsung. – BERNAMA

https://www.bernama.com/bm/news.php?id=1476592

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *