Home » Langit Terbuka » Sidang antarabangsa ketengah penyelidikan mengenai pengurusan Islam

Sidang antarabangsa ketengah penyelidikan mengenai pengurusan Islam

WAIM dan rakan kerjasama strategiknya, UniKL, mempelawa kalangan pemimpin pemikiran, sarjana, penuntut dan paling penting pengamal industri untuk menyertai persidangan tersebut. - Foto EasyUni

KUALA LUMPUR – Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan World Academy of Islamic Management (WAIM) akan menganjurkan satu persidangan antarabangsa mengenai amalan pengurusan Islam yang diadakan secara maya pada 17-18 Oktober ini.

Acara bertemakan ‘Integrating Conventional and Islamic Management for Sustainable Growth and Development’ (Penyepaduan Pengurusan Konvensional dan Islam Bagi Pertumbuhan dan Pembangunan Mampan) itu akan dikendalikan menerusi platform Zoom.

“Ia bertujuan mengetengahkan serta membincangkan pelbagai aspek amalan pengurusan Islam. Langkah ini tepat pada masanya ketika dunia sedang berdepan pelbagai cabaran di luar jangkaan serta memerlukan pengurusan mempunyai perspektif lebih menyeluruh agar kekal berwaspada serta cekap,” kata Presiden WAIM Profesor Emeritus Dr Mohamed Suleiman dalam satu kenyataan,  pada 11 Oktober.

Jelas beliau, pengurusan Islam itu berdasarkan konsep serta amalan yang digariskan dalam al-Quran serta hadis dan meliputi semua aspek pengurusan perniagaan selain aktiviti ekonomi seperti perdagangan, perbankan, pembuatan, insurans dan pelancongan.

Persidangan itu adalah yang kedua selepas siri pertama pada 2018 dan dihadiri oleh 150 peserta dari lebih 30 negara serta pembentangan 119 kertas kerja mengenai aspek pengurusan Islam.

“Bagi acara kali ini, kami telah menerima lebih 60 kertas untuk dibentangkan serta dibincangkan.

“Selain Malaysia, sarjana dan penyelidik yang bersetuju untuk menyertainya adalah dari Bangladesh, Algeria, Yemen, Nigeria dan Amerika Syarikat,” katanya.

Mohamed Suleiman berkata objektif utama persidangan itu adalah bagi menggalakkan penyelidikan dan penerbitan dalam bidang penyepaduan amalan pengurusan konvensional dan Islam bagi pertumbuhan ekonomi, perniagaan serta pembangunan untuk kesejahteraan dunia.

“WAIM dan rakan kerjasama strategik kami, UniKL, mempelawa kalangan pemimpin pemikiran, sarjana, penuntut dan paling penting pengamal industri untuk menyertai persidangan ini. Pada masa sama, mereka juga dapat mengetahui mengenai penemuan baharu membabitkan amalan pengurusan Islam.

“Kami berharap aktiviti MAIM seperti ini dapat memacu kedudukan Malaysia sebagai pusat kajian pengurusan Islam di peringkat antarabangsa,” katanya.

Mereka yang berminat menyertai acara itu boleh mendaftar menerusi  https://submit.confbay.com/conf/waim2020 atau waim.conf2@gmail.com .

Maklumat lanjut mengenainya boleh diperolehi di http://www.waim.my atau e-mel kepada  mfarid@unikl.edu.myatau abdkadir@uitm.edu.my  . – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *