Home » Langit Terbuka » Siddiq Fadzil diumum Tokoh Maal Hijrah

Siddiq Fadzil diumum Tokoh Maal Hijrah

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia berkata, Siddiq dipilih atas sumbangan dalam memartabatkan Islam di peringkat antarabangsa dan nasional yang mendapat pengiktirafan pelbagai pihak - Kosmo

KUALA LUMPUR – Presiden Kolej Dar al-Hikmah, Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1440H/2018M.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, berkata Siddiq dipilih atas sumbangan dalam memartabatkan Islam di peringkat antarabangsa dan nasional yang mendapat pengiktirafan pelbagai pihak.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan mengurniakan anugerah itu kepada Siddiq bersempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1440H/2018M di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa; Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Siddiq, 71, yang juga Pengerusi Panel Majlis Perundingan Islam, membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, pingat serta sijil penghargaan, selain RM20,000 sumbangan Yayasan Ubaidi.

Bapa kepada tujuh anak itu turut menyandang jawatan Pengerusi Akademi Kajian Ketamadunan (AKK), Ahli Panel Akademi Pengurusan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE) dan Pengerusi Kajian Maqasid Shariah IDE.

Ketika ditemui selepas majlis berkenaan, Siddiq berkata, anugerah diterimanya itu turut mewakili perjuangan ilmuan, da’i dan pendidik lain yang sudah mengikhlaskan amalan untuk keredaan Allah.

Katanya, anugerah Tokoh Maal Hijrah itu juga akan terus membakar semangatnya untuk meneruskan perjuangan dalam menegakkan syiar Islam.

“Selagi hayat dikandung badan, saya akan berbuat apa yang boleh, tidak hanya menegakkan syiar, tetapi juga ajaran Islam bersama prinsip dan nilai dasarnya,” katanya yang mahu membelanjakan wang tunai diterima untuk amal soleh. – Berita Harian

 

Artikel Berkaitan

Tiga mahasiswa USIM dakwah di New Zealand

SEREMBAN – Tiga mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meneruskan perjuangan dakwah penyebaran syiar Islam melalui latihan industri di Masjid Al Noor,

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *