Home » Resensi » Sirah komprehensif Rasulullah SAW

Sirah komprehensif Rasulullah SAW

Tajuk Buku: Al-Rahiq Al-Maktum – Sirah Nabawiyyah SAW

Penulis: Safiyyu Al-Rahman Al-Mubarakfuri

Penterjemah: Muhammad Ramzi Omar

Penerbit: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

Tahun: 2017 (Cetakan ke-10)

No. ISBN: 978-9839878-45-X

Pengulas: Shaharom TM Sulaiman

Membicarakan tentang sirah Nabi Muhammad SAW sebenarnya kita membicarakan sejarah biografi kehidupan insan kamil yang diperturunkan oleh Allah SWT kepada umat manusia sebagai ikutan dan teladan par excellence yang wajib dicontohi dan sebagai penutup para nabi dan rasul. Keyakinan seperti ini didasarkan pada firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” (al-Ahzab:40).

Kenyataan bahawa Muhammad SAW penutup utusan Allah berimplikasi bahawa rentetan wahyu-wahyu Allah yang diberikan kepada para Rasul semenjak Nabi Adam AS, dipandang telah sempurna diturunkan di tangan Nabi Muhammad SAW. Dengan demikian sesudah ayat terakhir dalam al-Quran turun (yang bermaksud): “…Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu…”(al-Maidah: 3). Maka berakhirlah proses penurunan wahyu dari Allah. Penjelasan ini menunjukkan bahawa terdapat evolusi di dalam agama di mana Islam dimunculkan sebagai bentuk terakhir dan demikian Islam adalah agama yang paling benar dan sempurna.

Mempelajari sirah Nabawiyyah sebenarnya adalah pernyataan untuk mengungkapkan tentang risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada umat manusia. Sepanjang penyampaian risalah itu, Rasulullah SAW menghadapi pelbagai liku cabaran dan perjuangan yang pahit getir, kekuatan fizikal dan mental yang selayaknya dilalui oleh para nabi dan rasul. Kegigihan Rasulullah SAW akhirnya merubah keseluruhan struktur kehidupan masyarakat Arab sama ada dari segi ekonomi, politik dan sosial. Kebijaksanaan Rasulullah SAW mengendalikan urusan pentadbiran negara, pertahanan, ketenteraan serta ekonomi membuktikan keunggulan Baginda sebagai pemimpin yang pantas dicontohi sepanjang zaman.

Buku setebal 733 halaman ini dapat dianggap cukup komprehensif yang memaparkan secara terperinci fasa-fasa kehidupan Rasulullah SAW semenjak sebelum kelahiran Baginda hingga zaman kewafatan Baginda termasuklah momen-momen terakhir menjelang kewafatan. Buku yang ditulis oleh Safiyyu Al-Rahman Al-Mubarakahfuri pernah memenangi tempat pertama sayembara Penulisan Sirah (1979) yang dianjurkan Rabitah Alam Islami, Mekah.

Perbincangan  terakhir dalam buku ini yang dapat disifatkan paling penting iaitu sifat keperibadian dan ketinggian akhlak Rasulullah SAW. Suatu sifat yang sering diabaikan oleh sebahagian besar umat Islam sehingga tidak dapat menonjolkan keindahan akhlak Islam kepada masyarakat bukan Islam dan gagal menjelmakan ‘Islam rahmat kepada sekalian alam’. Kesempurnaan akhlak Rasulullah SAW banyak sekali kita temui dalam pelbagai riwayat para sahabat yang melaporkan tentang sifat-sifat Baginda sama ada dari segi fizikal, keperibadian dan keluhuran akhlak.

Ummu al-Khuzaíiyyah mensifatkan Rasulullah SAW kepada suaminya tatkala Baginda singgah di khemah mereka dalam perjalanan hijrahnya, dengan ungkapan: “Seorang yang nyata berseri, putih mukanya, baik akhlaknya, tidak merasai beban oleh badan yang besar, tidak boleh diperlekehkan kerana kepala yang kecil, indah rupa paras dan menarik perhatian, luas dan tampak jelas mata putih dan mata hitamnya, rambutnya lebat, suaranya serak-serak basah, lehernya jinjang, mata hitamnya sangat ketara, tampak urat lengannya, alisnya nipis, keningnya bersambung, rambutnya sangat hitam, kalau dia diam, nampak nyata kehebatannya dan kalau dia berbicara, nampak nyata keterampilannya, manusia paling menawan dan paling menarik jika dipandang dari jauh, paling cantik dan manis dari dekat, kata-katanya manis, kesegakannya memadai dengan selapis pakaian sahaja, tidak bertutur yang sia-sia, tutur katanya bagaikan jalinan batu permata yang menjulur keluar, sederhana ketinggiannya, tidak perlu menunduk dan tidak perlu mendongak, bagaikan satu ranting, kalau dia bertiga dialah yang menarik perhatian dan paling mendapat tempat, dia mempunyai teman-teman yang mengelilinginya, kalau dia menyuruh sesuatu, mereka melaksanakannya, dia sentiasa dipatuhi dan dikerumuni,tidak bermuka masam dan tidak memperlekehkan orang”.

Manakala Saidina Abu Bakar as-Siddiq RA tatkala melihat Rasulullah SAW pernah berkata: “Seorang yang amanah, terpilih, mengajak kebaikan. Bagaikan bulan purnama yang menghilangkan kegelapan”.

Kesempurnaan akhlak Rasulullah SAW adalah cerminan al-Quran yang sesungguhnya, bahkan Rasulullah SAW sendiri adalah al-Quran hidup yang hadir ditengah-tengah umat manusia. Oleh kerana itulah Aishah RA berkata bahawa akhlak Rasulullah SAW adalah al-Quran.

Buku Al-Rahiq Al-Maktum – Sirah Nabawiyyah SAW memang wajar dimiliki oleh masyarakat Islam kerana ianya merupakan sebuah karya yang unik dari segi bahasa dan susunan jalan ceritanya. Setiap peristiwa berkaitan Rasulullah SAW diceritakan secara kronologi, diperincikan sehingga mampu digambarkan oleh pembaca. Buku ini telah mendapat sambutan yang meluas dan telah diulang cetak sebanyak 10 kali. Buku cetakan terbaharu ini telah pun dilancarkan semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada 5 Mei 2017. – MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *