Home » Langit Terbuka » Sistem pendidikan negara Islam perlu kebangkitan semula

Sistem pendidikan negara Islam perlu kebangkitan semula

Sistem pendidikan di negara Islam bukan sahaja perlukan pembaharuan sebaliknya juga satu kebangkitan semula. - Foto Hiasan Malay Mail

KUALA LUMPUR – Lebih banyak pencapaian serta kemajuan dapat dicapai seandainya pemikiran serta sistem pendidikan dapat diperbaharui dalam dunia Islam setaraf dengan dunia Barat pada masa depan.

Ia termasuk memberi kepentingan dengan ‘duniawi’ serta tidak hanya sekadar fokus dengan akhirat semata-mata.

Itu juga antara intipati cadangan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang juga senada dengan ahli panel lain ketika berbicara topik ‘Pendidikan Kunci Pembangunan Negara’ pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019.

Maszlee yang menghiburkan para hadirian dengan kebolehan bukan sahaja bercakap dalam bahasa Arab malah juga berbahasa Cina sesekali memberitahu perubahan paradigma perlu segera dilakukan supaya ia tidak jauh ketinggalan khasnya dalam bidang penyelidikan serta saintifik.

Sambil memberikan contoh individu seperti remaja Sweden, Greta Thunberg yang menderita sindrom Asperger iaitu penghidap autisme sederhana namun menjadi terkenal kerana merangsang generasi muda mempertahankan alam sekitar.

“Kita juga perlu ada belia seperti Greta Thunbergs yang bukan sahaja muda sebaliknya golongan yang mampu berfikir ke hadapan dengan begitu cemerlang sekali.

“Jangan kita mempelajari jannah serta bagaimana mahu sampai ke tahap itu sebaliknya bagaimanakah cara untuk menjadikan dunia yang kita hidup ini sebagai jannah juga.

“Kita perlu kembangkan sistem pendidikan yang sedia ada ini ke tahap yang lebih tinggi setaraf dengan yang lain-lain,” katanya sambil menerima tepukan gemuruh daripada hadirin.

Kata Maszlee lagi, dalam pendidikan itu juga termasuk menanam nilai-nilai murni serta kemanusiaan sehingga mampu menghasilkan individu yang bukan sahaja bijak luar sebaliknya juga dapat menyelesaikan isu kemasyarakatan serta sosial.

“Sistem pendidikan di negara Islam bukan sahaja perlukan pembaharuan sebaliknya juga satu kebangkitan semula, yang saya maksudkan ini adalah kebangkitkan bagi menguatkan sesuatu yang lemah, uzur atau retak.

“Seandainya pembaharuan itu berlaku, kita akan banyak ruang untuk belajar dan berfikir dengan lebih mendalam lagi. Selain itu, pembaharuan itu juga perlu disusuli dengan nilai murni agar dapat menghadapi masyarakat serta isu sosial dalam kalangan mereka menggunakan Islam,” ujarnya.

Dalam pada itu, Maszlee juga menggariskan kepentingan bagi universiti Islam untuk diiktiraf dalam bidang penyelidikan serta pembangunan sekaligus berpotensi besar membawa kebaikan kepada semua pada masa hadapan.

Ketika ditemui pemberita di luar, Maszlee sekali lagi memberitahu bagaimana universiti-universiti di Malaysia sendiri sudah mula berkolabrasi dengan universiti Islam terkemuka di negara lain dalam pelbagai bidang penyelidikan serta kajian.

“Itu termasuklah di Arab Saudi, Iran, Turki, Qatar dan lain-lain lagi.

“Kita mahu perkasa para ahli akademik melalui kajian serta kolabrasi bukan sahaja dalam negara sebaliknya luar. Kerjasama dengan universiti majoiti Islam di luar sana dengan Malaysia sebenarnya satu inisiatif sungguh baik.

“Kita juga akan berkolabrasi dengan pihak industri serta pembuat polisi dengan menghasilkan kajian membawa impak secara global dan masyarakat sekitar.

“Apa yang maksudkan ini bukan sahaja untuk bidang sains dan teknologi sahaja sebaliknya konsep kemanusiaan juga dititikberatkan serta perubahan sikap,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *