Home » Langit Terbuka » Sistem pendidikan tinggi Malaysia diiktiraf dunia

Sistem pendidikan tinggi Malaysia diiktiraf dunia

Kerajaan Maghribi telah membuat ketetapan supaya mengambil contoh sistem pendidikan tinggi di Malaysia untuk membangunkan bidang pendidikan di negara itu. - Foto PressReader

KUALA NERUS – Sistem pendidikan tinggi Malaysia yang bertaraf antarabangsa sering dijadikan contoh dan panduan oleh banyak negara di dunia.

Perkara itu diakui oleh Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Sheikh Prof Dr Ahmed al-Raissouni yang berkata kualiti pendidikan, siswazah dan segala hasil penyelidikan Malaysia telah menjadi contoh kepada bukan sahaja negara Islam malah negara Barat juga.

Selain itu, katanya, sistem pendidikan tinggi di Malaysia turut dijadikan sebagai rujukan untuk pembangunan pendidikan di negara asalnya, Maghribi.

“Kerajaan Maghribi telah membuat ketetapan supaya mengambil contoh sistem pendidikan tinggi di Malaysia untuk membangunkan bidang pendidikan di negara kami,” katanya selepas mengadakan kunjungan ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini pada 29 Disember.

Beliau berkata demikian dalam Bahasa Arab yang kemudiannya diterjemahkan ke Bahasa Melayu oleh Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan.

Mengulas lanjut Ahmed al-Raissouni yang juga Profesor Pelawat Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UniSZA, berkata selain bidang pendidikan tinggi, Malaysia juga dikagumi oleh banyak negara Islam di dunia kerana kejayaan pembangunan sosial, politik, sistem demokrasi dan kehidupan masyarakat majmuk.

Menurutnya, ciri itu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara contoh dan wajar diikuti oleh negara Islam di dunia.

“Walaupun kejayaannya bukanlah 100 peratus, Malaysia memang contoh yang sangat baik dari segi sosial, ekonomi, pendidikan, demokrasi dan masyarakat majmuk,” katanya yang berkali-kali memuji usaha Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019, baru-baru ini. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *