Home » Kenyataan Media » Penjelasan Mengenai Rakan Siswa YADIM

Penjelasan Mengenai Rakan Siswa YADIM

YADIM ingin merujuk kepada kenyataan pelbagai pihak dan individu mengenai Rakan Siswa YADIM (RSY) di beberapa platform media baru baru ini.

Berhubung dakwaan bahawa RSY digunakan untuk meluaskan pengaruh pihak tertentu menerusi YADIM, ingin ditegaskan ia sudah bergiat aktif sejak 2013 (dikenali sebagai Sahabat YADIM sebelum dijenamakan kepada RSY dengan penambah baikan dari sudut hala tuju dan tatakelola), iaitu ketika pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Penafian bahawa ia tidak pernah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini amatlah membingungkan sementelah peruntukan daripada ICU JPM yang mendapat kelulusan YAB PM telah disalurkan kepada YADIM bagi tujuan tersebut sejak tahun 2014 lagi. Yang Di-Pertua YADIM pada masa itu boleh mengesahkan hakikat ini.

Justeru sekiranya inisiatif seperti ini telah wujud sebelum ini, wajarkah jika dianggap Sahabat YADIM pada ketika itu adalah alat menyebar pengaruh pihak tertentu?

RSY tidak sama sekali akan digunakan untuk tujuan menyebarkan pengaruh politik di sekolah mahupun di universiti kerana YADIM pada pentadbiran kali ini melihat misi untuk melahirkan golongan muda yang berketrampilan dan berakhlak mulia adalah sangat luas dan agenda politik hanya akan membataskan inklusiviti misi ini.

Dibawah pimpinan Yang Berusaha Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz ,RSY akan terus memberi fokus kepada program yang berteraskan pendidikan manakala selaras dengan penjenamaan kali ini, penekanan yang lebih akan diberikan untuk merapatkan hubungan sesama kaum.

Mengenai kenyataan daripada Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST) pada 29 Disember pula, YADIM berpandangan ia dikeluarkan atas ketidak jelasan pihak majlis terhadap hasrat sebenar YADIM dalam pelaksanaan Inisiatif RSY.

Selaras dengan ajaran Islam yang menganjurkan keterbukaan, keharmonian dan ketelusan yang turut menjadi asas kepada kerajaan pada hari ini, YADIM ingin membuka seluas-luasnya pintu dialog kepada pihak Majlis untuk bertemu dan mendapatkan penjelasan yang sebenarnya terhadap inisiatif yang ingin dilaksanakan tersebut dan program-program lain yang dilaksanakan oleh YADIM.

Lantaran daripada tiadanya sebarang agenda tersembunyi seperti yang ditimbulkan oleh beberapa pihak, YADIM telah memohon secara rasmi kepada pihak Kementerian Pendidikan bagi melaksanakan inisiatif tersebut di institusi pendidikan menengah dan tinggi sepertimana kegiatan berpersatuan yang lain.

DIKELUARKAN OLEH BAHAGIAN MEDIA DAN TEKNOLOGI DAKWAH YADIM
PADA 30 DISEMBER 2019

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *