Home » Langit Terbuka » SM Imtiaz Kuala Terengganu raih kejayaan di Bangkok

SM Imtiaz Kuala Terengganu raih kejayaan di Bangkok

KUALA TERENGGANU 7 Feb. – Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Kuala Terengganu di sini terus mencipta nama di persada antarabangsa apabila meraih pingat emas dalam Ekspo Harta Intelek, Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (IPITEx) 2018 di Bangkok, yang berakhir semalam.

Pasukan sekolah itu diwakili oleh Muhammad Khairul Naim Rosland, Siti Nur Maisarah Mohd. Osman dan Ummi Maisarah Mohd Razali, di bawah bimbingan guru pengiring, Rohani Osman di samping jurulatih Saripah Embong.

Kemenangan diraih menerusi produk inovatif mesra alam berupa set peralatan pembersihan ruang kediaman yang dinamakan  Nifty Cleaner Kit mengulangi kejayaan yang pernah dicapai di Romania dan Korea pada tahun lalu.

Produk itu bagi membantu mengurangkan ‘sindrom bangunan sakit’ yang menjejaskan kualiti udara dalam premis, sekali gus menurunkan kualiti kesihatan penghuninya yang terdedah kepada bakteria dan kuman.

Pengetua SM Imtiaz Kuala Terengganu, Md. Imran Md. Nor bersyukur dengan pencapaian pasukannya dalam program tahunan bercorak pertandingan yang merupakan salah satu program terbesar seumpamanya di Asia di bawah kelolaan Majlis Penyelidikan Kebangsaan Thailand.

“Kejayaan ini membuktikan pelajar kita mampu bersaing di peringkat dunia  sekali gus membantu merealisasikan visi, misi dan moto sekolah dalam mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) iaitu rekacipta dan inovasi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nifty Cleaner Kit yang disertakan dengan cecair organik Novely untuk mencuci kekotoran daripada pelbagai permukaan seperti tingkap, bilah kipas, jeriji, dinding, cermin, papan putih pernah membawa sekolah ke peringkat akhir bagi Anugerah Inovasi Negara anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi pada tahun lalu.-UTUSAN ONLINE

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *