KUALA LUMPUR 19 Dis – Tokoh agama setuju supaya pengendalian urusan umrah dipindahkan ke jabatan dan agensi yang lebih layak bagi memastikan kesempurnaan dalam pengurusan ibadah itu, termasuk dari aspek pemantauannya.
Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid, berkata perkara itu sewajarnya diperhalusi, memandangkan isu penipuan umrah masih berlaku biarpun tindakan dan pemantauan sudah dipertingkat sepanjang masa.
“Pada dasarnya, kalau sistem pengurusan umrah ini diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) atau dikelolakan oleh Tabung Haji (sebagai pemantau) iaitu pihak agama (Islam) sendiri, adalah jauh lebih baik.
“Kalau itulah cara terbaik dan boleh menyelesaikan masalah penipuan dan menjaga kesempurnaan ibadah umrah, maka kita laksanakanlah,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Beliau mengulas cadangan beberapa pihak semalam yang mahu pengurusan umrah dipindahkan ke JPM, dengan Tabung Haji yang ketika ini terbabit dalam pengurusan haji diberi tanggungjawab memantau dan melancarkan urusan umrah.
Cadangan itu timbul susulan isu pembatalan serta merta Integrated Manasik Monitoring System (IMAMS) oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan
Jumaat lalu, selepas mendapat bantahan banyak pihak.
Antaranya ialah kerana sistem itu dikendalikan bukan Islam selain kos dikenakan akan membebankan jemaah.
Tamyes juga berkata, sudah tiba masanya kerajaan mengenal pasti mana-mana agensi kerajaan dan syarikat berkelayakan terbabit dalam urusan mengawal selia umrah meliputi hal penginapan, visa dan tiket penerbangan.
“Sebab kita selalu mendengar ada pekej tertentu menawarkan harga lebih murah, penginapan yang terbaik, tetapi akhirnya ia hanya bersifat memperdaya.
“Kerajaan harus mengenal pasti syarikat yang berkelayakan ini yang terbukti memberi khidmat yang cekap dan sejarah pengurusan yang terbaik untuk melaksanakan tugas ini,” katanya.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, mahu setiap cadangan disuarakan pihak tertentu seperti pindaan terhadap Akta Tabung Haji 1995 diperhalusi.
Katanya, penelitian semua cadangan dikemukakan itu berupaya menghasilkan satu keputusan yang terbaik dan bersifat menyeluruh.
“Kalau boleh juga setiap cadangan yang dikemukakan selepas ini mesti disertakan dengan justifikasi dan alasan yang munasabah terutama yang berkait kesempurnaan urusan umrah ini,” katanya.
Semalam, EXCO Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Hussin, mencadangkan Akta Tabung Haji 1995 dipinda bagi membolehkan agensi pengurusan haji itu menjalankan pemantauan, memandangkan ketika ini Tabung Haji hanya diberi kuasa untuk mengawal selia urusan Haji saja.- BERITA HARIAN
KOMEN