Home » Langit Terbuka » Solat fardu berjemaah, ceramah di Pulau Pinang dibenarkan

Solat fardu berjemaah, ceramah di Pulau Pinang dibenarkan

Kebenaran solat berjemaah itu terbuka kepada ahli kariah dan orang awam manakala solat jenazah hanya kepada ahli keluarga dan kariah sahaja di Pulau Pinang setakat ini. - Foto FB

GEORGE TOWN – Bilangan jemaah solat fardu, solat jenazah bukan pesakit Covid-19, kuliah dan ceramah di Pulau Pinang yang dibenarkan mulai 24 Jun perlu mengikut keluasan ruang solat masjid atau surau.

Ia juga dilaksanakan dengan mengambil kira penjarakan sosial satu meter dan lain-lain syarat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta mengikut kemampuan pihak pengurusan masjid dan surau.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang merangkap Yang di Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, kebenaran itu terbuka kepada ahli kariah dan orang awam manakala solat jenazah hanya kepada ahli keluarga dan kariah sahaja.

Katanya, aktiviti kuliah atau ceramah dibenarkan hanya selepas solat fardu Maghrib hingga masuk waktu Isyak setiap hari.

“Manakala kuliah dan ceramah selepas solat Subuh dan Asar pula hanya dibenarkan pada setiap hari Sabtu dan Ahad tetapi terhad kepada 20 minit dengan penceramah yang dijemput mestilah bermastautin di negeri ini serta mempunyai sijil tauliah mengajar.

“Ruang musafir khas yang dibenarkan bagi masjid dan surau pula adalah bermula pada jam 6 pagi hingga 9.30 malam.

“Perkara itu diputuskan selepas perbincangan dengan semua pihak berkaitan termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAPP), Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang,” katanya kepada NSTP.

Mengulas lanjut Ahmad Zakiyuddin berkata, bilangan jemaah bagi solat Jumaat pula dibenarkan tidak melebihi 40 orang berkuat kuasa 26 Jun ini.

Katanya, antara syarat lain yang ditetapkan ialah jemaah mesti warga negara Malaysia terdiri daripada ahli kariah dan orang awam.

Manakala ibadah korban juga turut dibenarkan dengan perlu mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Berkuat kuasa pada 31 Julai, solat sunat Aidiladha juga dibenarkan dengan kadar bilangan jemaah mengikut keluasan ruang solat masjid dan surau serta kemampuan pihak pengurusan dengan mengambil kira penjarakan sosial.

“Bagaimanapun, keutamaan kesemua kebenaran ini hanya membabitkan jemaah berusia 15 hingga 70 tahun manakala bagi individu yang berusia 71 tahun ke atas dan sihat, boleh hadir solat tetapi tidak digalakkan.

“Jemaah berusia 15 tahun ke bawah, atau mempunyai gejala demam, batuk, selsema, pesakit kronik dan pengidap asma pula tidak dibenarkan menyertai solat jemaah dan aktiviti di masjid bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19,” katanya lagi.

Antara SOP lain yang perlu dipatuhi ialah merekod kehadiran, mengambil suhu badan dan menjaga kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan dengan sabun atau menggunakan cecair sanitasi tangan.

“Kebenaran pelaksanaan akan ditarik balik dan dibatalkan serta merta sekiranya didapati berlaku ketidak patuhan SOP,” katanya.

Art

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *