Home » Langit Terbuka » Solat Jumaat luar masjid mufti perlu bincang dengan JAKIM

Solat Jumaat luar masjid mufti perlu bincang dengan JAKIM

Mufti Kelantan berkata, mufti negeri tidak membuat keputusan fatwa sendiri tanpa berbincang dengan pihak berkaitan. - Foto Utusan Digital

PETALING JAYA – Mufti negeri perlu berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terlebih dahulu sebelum mengeluarkan fatwa khusus berhubung solat Jumaat di luar pagar masjid.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri berkata, mufti-mufti negeri telah menjawab persoalan itu namun sebarang keputusan mengenai fatwa perlu menjalani sesi perbincangan terlebih dahulu.

Katanya, mufti negeri tidak membuat keputusan fatwa sendiri tanpa berbincang dengan pihak berkaitan.

“Mengikut hukum syarak, memang solat tersebut sah jika syarat jarak tempat makmum tersebut berdiri tidak lebih 300 hasta dari imam di dalam masjid,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Akhbar ini semalam melaporkan kenyataan penceramah bebas, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim yang sedih melihat suasana solat di luar pagar masjid baru-baru ini.

Menerusi hantaran dalam akaun sosial rasmi Instagram miliknya, Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berpendapat, fatwa sedemikian perlu dalam senario semasa.

Hantaran beliau tular diperkatakan warganet selain beliau turut memuat naik video yang memaparkan ratusan jemaah bersolat di luar sebuah masjid.

Rakaman berdurasi selama 25 saat itu menunjukkan keadaan mereka bersembahyang di tepi jalan dan koridor kedai di luar sebuah masjid di Bangi, Selangor pada Jumaat lalu.

Shukri turut mengalu-alukan fatwa itu dikeluarkan segera ketika pandemik Covid-19 sedang melanda. – Utusan Online

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *