Home » Langit Terbuka » Solat Jumaat Masjid Jamek Kampung Rawa 11 Ogos lalu tidak sah

Solat Jumaat Masjid Jamek Kampung Rawa 11 Ogos lalu tidak sah

PULAU PINANG 2 Okt – Jabatan Mufti Pulau Pinang memutuskan solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Rawa, Georgetown di sini pada 11 Ogos lalu tidak sah.

Mufti negeri, Datuk Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, keputusan itu dibuat berikutan khatib ketika berkhutbah pada hari berkenaan tidak berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Selain itu, ujar beliau, khatib berkenaan juga tidak menyebut bertakwa kepada Allah SWT selain tidak membacakan doa untuk umat Islam.

“Perlu dijelaskan bahawa fokus diberikan kepada khutbah yang disampaikan, bukan kepada khatib terbabit.

“Keputusan ini adalah mengikut qaul muktamad dalam mazhab Syafie seperti yang dikehendaki oleh Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, satu surat daripada pihak pengurusan masjid berkenaan yang meminta jemaah solat Jumaat pada 11 Ogos lalu menggantikan solat mereka dengan solat zuhur segera tular di laman sosial.

Menurut surat yang dikeluarkan Pengerusi Kariah Masjid Jamek Kampung Rawa, solat Jumaat pada hari itu tidak sah mengikut hukum syarak kerana khutbah yang disampaikan oleh khatib jemputan tidak memenuhi rukun khutbah mengikut ‘qaul muktamad’ mazhab Syafie.

Khutbah pada hari itu dibacakan imam Muhammad Zamri Vinoth Abdullah yang juga Presiden Angkatan Skuad Mubaligh Malaysia.

Dalam pada itu, Muhammad Zamri Vinoth seperti dilaporkan laman web ismaweb.net memohon maaf atas kesilapannya ketika membaca khutbah Jumaat sehingga menyebabkan solat itu diputuskan tidak sah. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

Kerajaan saring individu sampaikan ajaran Islam

KUALA LUMPUR – Kerajaan melaksanakan saringan terhadap individu yang akan menyampaikan ajaran Islam di negara ini bagi mengekang penyebaran liberalisme yang berselindung

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *