Home » Langit Terbuka » Solidariti untuk mangsa bencana pencemaran Pasir Gudang

Solidariti untuk mangsa bencana pencemaran Pasir Gudang

PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) turut sama berduka cita atas kejadian malang yang menimpa mangsa insiden pencemaran di Pasir Gudang.

YADIM berharap semoga semua yang terlibat tabah menghadapi ujian ini, dan kami berdoa agar segala urusan kalian dipermudahkan.

Pada masa yang sama, YADIM menaruh keyakinan pihak berkuasa mampu menangani kejadian ini dengan sebaiknya.

Menurut laporan media,  Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan mendakwa pengusaha kilang tayar kitar semula yang juga suspek utama kes pembuangan sisa kimia berbahaya secara haram di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, esok (14 Mac 2019).

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berkata kertas siasatan sudah diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya pagi tadi.

Katanya, pengusaha kilang di kawasan Kulai itu adalah seorang daripada tiga suspek utama yang ditahan JAS negeri sebelum ini.

JAS juga kata beliau, sudah menggerakkan asetnya di seluruh negara termasuk alat pengesan gas serta 100 pegawainya ke kawasan terjejas pencemaran sisa gas kimia berbahaya di Sungai Kim Kim, sejak Ahad lalu, bagi menangani penularan pencemaran gas berbahaya ke kawasan lain.

Kementerian Pendidikan pula telah mengarahkan 34 buah sekolah di sekitar Pasir Gudang ditutup serta merta berikutan pencemaran kimia Sungai Kim Kim yang telah menjejaskan kesihatan pelajar di kawasan terbabit sejak beberapa hari lalu.

Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, tindakan tersebut diambil untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini menimpa pelajar serta warga sekolah.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *