Home » Langit Terbuka » Stoking kalimah Allah: Anwar mahu tindakan segera ikut undang-undang

Stoking kalimah Allah: Anwar mahu tindakan segera ikut undang-undang

Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (duduk dua, kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Nur-ul Afida Kamaludin (duduk tiga, kanan) dan Ketua Pegawai Kandungan The Star, Datin Paduka Esther Ng Sek Yee semasa Majlis Berbuka Puasa MADANI di Kompleks Seri Perdana, malam ini. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu tindakan segera diambil berlandaskan undang-undang berhubung isu jualan stoking yang tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka.

Perdana Menteri berkata, tindakan perlu diambil supaya tidak ada penghinaan terhadap agama, khususnya Islam.

“Pandangan saya jelas. Ada laporan, ada keterlanjuran, mesti ada tindakan segera. Kemudian keputusan ikut jalur hukum dan maju terus.

“Kenapa kita perlu terperangkap dalam isu yang berpanjangan. Ada laporan, ambil tindakan. Jangan ada penghinaan terhadap agama, apatah lagi Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa MADANI bersama Petugas Media di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.

Pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah ‘Allah’ dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Sabtu lalu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah ‘Allah’, di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Namun, Pemuda UMNO memberi tempoh dua hari kepada pengurusan KK Super Mart untuk memasang kain rentang di semua 881 cawangan kedai serbaneka itu di seluruh negara bagi memohon maaf atas penjualan stoking tertera kalimah ‘Allah’.

Malah, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu berkenaan.

Mengulas lanjut, Anwar berkata tindakan tegas perlu segera diambil supaya negara dapat maju dalam lapangan yang ingin diterokai.

Ditanya mengenai tindakan segelintir pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan yang bertikam lidah berhubung isu berkenaan, Anwar berkata, semua boleh memberi pandangan, namun tidak boleh terlanjur atau mengikut pemikiran yang sempit.

“Dalam kerangka politik yang bebas dan demokratik, tak boleh diikuti sistem walak kerana dalam parti yang walak, yang mengekang pemikiran bebas, dia tidak mengizinkan.

“Kita membolehkan (memberi pandangan dan teguran). Cuma nasihat saya jangan terlanjur atau mengikut pemikiran sempit masing-masing,” katanya.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *