Home » Muamalah » Strategi Pemasaran Berteraskan Islam

Strategi Pemasaran Berteraskan Islam

Strategi pemasaran merupakan sejumlah perancangan besar yang menggambarkan bagaimana sebuah perusahaan harus beroperasi untuk mencapai tujuannya dengan memerlukan sedikit usaha yang kritis. Ia disebut juga sebagai cara membuat keputusan tentang kos pemasaran, campuran pemasaran dan peruntukan pemasaran. Di samping melihat persaingan hebat berdasarkan suasana persekitarannya.

Ia selalunya dipengaruhi oleh dua faktor. Pertama, faktor mikro iaitu perantara pemasaran, pembekal, pesaing dan masyarakat. Kedua, faktor makro iaitu demografi, ekonomi politik, undang-undang, teknologi, fizikal, sosial dan budaya.

Antara strategi pemasaran yang sering diperbincangkan juga ialah tempat yang strategik (place), produk yang berkualiti (product), harga yang kompetitif (price) dan promosi yang terbaik (promotion). Penetapan strategi tersebut juga harus dilihat dari sudut keperluan dan keinginan pengguna (customer needs and wants), kos pengguna (cost to the customer), keselesaan (convenience) dan komunikasi (communication).

Abdul Majid dalam tulisannya bertajuk Pengertian, Konsep dan Definisi Pemasaran merumuskan strategi pemasaran kepada tiga faktor utama. Pertama, strategi harus disesuaikan dengan tahap kitaran hidup iaitu tahap perkenalan, tahap pertumbuhan, tahap kedewasaan dan tahap kemunduran. Kedua, strategi pemasaran perlu disesuaikan dengan kedudukan syarikat dalam persaingan, sama ada mengetuai, dicabar, mengikuti atau hanya mengambil sebahagian kecil daripada pasaran. Ketiga, strategi pemasaran perlu disesuaikan dengan situasi ekonomi yang mendatang, apakah ekonomi berada dalam situasi stabil atau inflasi yang tinggi?

Menurut beliau lagi, cara mengatur strategi pemasaran terbahagi pula kepada dua. Pertama, strategi keperluan asas iaitu strategi untuk merancang kehendak primer iaitu menambah jumlah pengguna dan meningkatkan jumlah pembeli. Begitu juga, strategi pemilihan keperluan iaitu mengekalkan pelanggan dan memelihara kepuasan pelanggan dengan mengimbangi proses pembelian dengan cara saling bertukar jenama.

Hasil penelitian terhadap kesemua strategi tersebut, hampir kesemua strategi yang diutarakan mempunyai kaitan dengan harga, produk, promosi dan tempat. Keempat-empat strategi asas pemasaran lazim itu sebenarnya diperkenalkan oleh McCarthyn E. J. dalam karyanya Basic Marketing: A Managerial Approach.

Kemudian, ia ditambah pula dengan strategi 3P yang diperkenalkan oleh Booms dan Bitner iaitu proses (process), orang (people) dan bukti fizikal (physical evidence). Menjadikan jumlahnya sebanyak 7P.

Namun, terdapat juga pandangan yang meletakkan strategi pemasaran hanya kepada lima perkara sahaja iaitu sumber manusia, produk, harga, promosi dan networking.

Strategi 7P ini kemudiannya digunakan oleh jabatan dan syarikat yang mengusahakan perkhidmatan kepada pelanggan. Sebagai contoh syarikat motivasi yang melakukan seminar. Orang (people) mengambil kira kakitangan organisasi penganjur. Proses (process) iaitu pelbagai langkah yang diikuti sebelum hari pelaksanan seminar dan bukti fizikal (physical evidence) perlaksanaan acara seperti tiket, jenama dan tema seminar.

Strategi pemasaran yang dikemukakan di atas mempamerkan bagaimana kesungguhan mereka dalam meningkatkan kualiti pemasaran. Berkemungkinan dalam melaksanakan perkara tersebut tidak terlepas dari konsep ‘matlamat mengahalalkan cara’ iaitu segala apa yang dilakukan walaupun bercanggah dari sudut agama diperbolehkan untuk dilaksana asalkan matlamat dapat dicapai.

Disebabkan itulah kebanyakkan yang berlaku dalam dunia perniagaan adanya sifat mahu tindas-menindas. Ia selaras dengan kaedah kapitalis iaitu kaya mahu lagi kaya dan miskin terus miskin. Keadaan sebegini telah meningkatkan lagi kadar kemiskinan dan pengganguran dalam masyarakat. Sebagai contoh Amerika Syarikat (AS) yang dilihat sebuah negara maju tetapi disebaliknya dipenuhi dengan kemelaratan, kemiskinan, pengangguran dan masalah sosial.

Statistik yang dikeluarkan oleh Voice of Amerika, mengatakan bahawa angka kemiskinan AS adalah lebih 15 peratus dari keseluruhannya dan menjadikan warga miskinnya berjumlah lebih daripada 46 juta orang pada tahun 2010. Ini menunjukkan bahawa strategi pemasaran dalam memuaskan kehendak pelanggan telah gagal apabila kemahuan mereka tidak dapat dipenuhi atas sebab kekurangan harta.

Di dalam Islam juga amat menekankan dari sudut kualiti barang dan perkhidmatan. Namun, seharusnya setiap perkara yang dilaksanakan itu tidak terkeluar dari garis panduan agama. Maka konsep yang digunakan ialah ‘matlamat tidak menghalalkan cara’. Seterusnya, apakah yang ditekankan dalam Islam?

Islam tidak datang dengan mendahulukan harta benda fizikal, tetapi lebih mengutamakan harta benda rohani. Ia lebih menekankan aspek hati. Islam meletakkan strategi yang utama iaitu bagaimanakah hati dapat dibentuk sesuai dengan kehendak agama? Ia dimulai dengan agama iaitu mengenal Allah s.w.t (Awwaluddin Ma’rifatullah). Berpandukan kepada al-Quran dan al-Hadis, hati itu dibina dengan tiga perkara asas iaitu cara mengenal Allah (iman atau tauhid), cara beramal dengan Islam (syariat atau fekah) dan cara mendekatkan hati dengan Allah (tasawuf atau akhlak).

Ciri-ciri dan pelaksanaan pemasaran berteraskan Islam merupakan hasil dari penelitian terhadap karya berkaitannya. Pembezaan yang ketara dapat dilihat berdasarkan kaedah pelaksanaan ciri-cirinya. Pelaksanaan pemasaran berteraskan Islam ialah menekankan konsep keadilan dan kebajikan, amar makruf nahi mungkar, berdasarkan konsep ‘ubudiyah dan uluhiyah serta tanggungjawab sebagai khalifah dan hamba allah s.w.t. Ciri-cirinya pula ialah pembangunan sosiopolitik, pembangunan sosioekonomi, keseimbangan pembangunan masyarakat, kepentingan awam dan pengurusan sumber manusia.

Konsep pengislahan ummah merupakan satu bentuk pembaharuan dan perubahan masyarakat yang dilihat dari segi ekonomi, politik dan sosial. Perubahan tersebut adalah dalam lingkungan syariat Islam. Pengislahan ummah dijadikan sebagai panduan pembangunan ekonomi politik Islam. Akhirnya, berjaya menggapai mardhatillah.

Oleh itu, dapat dilihat bahawa konsep pemasaran berteraskan Islam mempunyai kaedahnya yang tersendiri. Kaedah tersebut berpandukan kepada al-Quran dan al-Hadith yang membentuk suatu prinsip. Islam sememangnya terkenal dengan aktiviti perniagaan apabila Rasul saw sendiri merupakan seorang pedagang dan peniaga yang dapat dilihat dalam karya sejarah Sa’id Ramadhan al-Buti.

Allah s.w.t juga pernah berfirman dalam surah al-Nisa’ ayat 29 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu”.

Secara ringkasnya, Syeikh Abdul Aziz bin Fathi as-Sayyid Nada dalam Ensiklopedia Adab Islami, menyatakan prinsip-prinsip pemasaran Islam bolehlah dikategorikan kepada lapan perkara. Pertama, amanah dalam perniagaan.

Kedua, tidak menjual sesuatu yang haram seperti minuman keras dan memabukkan, dadah dan barang yang diharamkan Allah s.w.t. Ini kerana barang haram yang dijual itu hasilnya adalah haram dan kotor.

Ketiga, tidak melakukan sistem perdagangan terlarang. Contohnya, menjual barangan curi. Rasul s.a.w bersabda: “Jangan kamu menjual sesuatu yang tidak engkau miliki.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Nasa’i)

Keempat, tidak terlalu banyak mengambil untung.

Kelima, tidak membiasakan bersumpah ketika berniaga. Seperti sabda Rasul s.a.w, “Janganlah kamu banyak bersumpah ketika berniaga, sebab cara seperti itu melariskan dagangan lalu menghilangkan keberkatannya.” (Riwayat Muslim)

Keenam, tidak berbohong ketika berniaga seperti menjual barang yang sudah rosak dan cacat dengan tidak diberitahu kepada pembelinya. Ketujuh, penjual melebihkan timbangan. Kelapan, tidak boleh memakan dan memonopoli barang dagangan tertentu. Sabda Nabi s.a.w, “Tidaklah seseorang menimbun barang melainkan pelaku maksiat.” (Riwayat Muslim)

Mohd Syakir Bin Mohd Rosdi
Felo Akademik
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV)
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *