Home » Langit Terbuka » Stuart Michael Setiausaha Agung FAM

Stuart Michael Setiausaha Agung FAM

Setiausaha Agung FAM yang ke-10, Stuart Michael Ramalingam

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Super League (MSL), Stuart Michael Ramalingam dilantik sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu.

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pelantikan Stuart sebagai Setiausaha Agung FAM yang ke-10 itu diputuskan berdasarkan Artikel 61 Perenggan 1 dalam Statut FAM yang menyatakan Setiausaha Agung hendaklah dilantik oleh Presiden.

“Selaku Presiden FAM, saya amat berharap agar beliau dapat menjalankan tugas dengan profesional dan penuh amanah demi memartabatkan bola sepak negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamidin berkata Stuart, 41, menjadi pilihan untuk memegang jawatan itu berdasarkan pengalaman 10 tahun dimiliki beliau dalam bidang pengurusan dan pentadbiran bola sepak termasuk pernah memegang beberapa jawatan dalam Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Pengalaman Stuart bermula pada 2008 apabila dilantik oleh FIFA sebagai ?Professionalisation Consultant’ yang bertanggungjawab memberi sokongan berterusan dan konsultansi kepada anggota gabungan FIFA dalam mewujudkan liga-liga baharu, mengemas kini pentadbiran persatuan negara serta menjadi perancang bagi program pendidikan pentadbiran FIFA (Futuro III).

Pada 2010, beliau dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif MSL dan diberi mandat untuk merencanakan struktur FAM and juga aspek komersial badan induk itu.

Selang dua tahun kemudian, Stuart menyertai AFC dengan memegang pelbagai jawatan termasuk Pengarah Kejohanan Kelab-Kelab AFC (termasuk Liga Juara-Juara Asia, Piala AFC dan kejohanan Futsal AFC), Pengarah Pemasaran serta Pengarah ‘Social Responsibility’.

Beliau kemudian menjadi perunding kepada dua agensi sukan terbesar dunia – Dentsu Sports dan IMG pada 2014.

Stuart dilantik sebagai Naib Presiden Dentsu Sports selama empat tahun sehingga 2018 dan mengetuai operasi agensi tersebut di Asia termasuk penajaan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, pengurusan Sukan Asia 2018 Indonesia dan perencanaan strategi Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Dengan pengalaman beliau di FIFA, AFC dan FAM serta pengalaman selama empat tahun dalam dunia korporat dan juga agensi sukan terbesar di dunia, Stuart dilihat sebagai calon paling sesuai untuk menjadi Setiausaha Agung FAM dan diyakini mampu membawa budaya korporat yang akan menjadi perubahan positif kepada FAM,” kata Hamidin yang merupakan bekas Setiausaha Agung FAM dari 2013-2018.

Hamidin berkata Stuart akan memulakan tugas secara rasmi di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Isnin ini (16 Julai).

Hamidin dilantik sebagai Presiden FAM ketujuh bagi baki penggal 2017- 2021 pada Kongres Tahunan FAM ke-54 di Petaling Jaya, semalam.

Beliau menggantikan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang melepaskan jawatan kerusi panas berkenaan. — BERNAMA

Artikel Berkaitan

Kerajaan saring individu sampaikan ajaran Islam

KUALA LUMPUR – Kerajaan melaksanakan saringan terhadap individu yang akan menyampaikan ajaran Islam di negara ini bagi mengekang penyebaran liberalisme yang berselindung

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *