Home » Citra Yadim » Sukarelawan Al-Falah anjur kursus pengurusan ibadah korban

Sukarelawan Al-Falah anjur kursus pengurusan ibadah korban

CHINI 19 Ogos – Bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Raya Korban tahun ini, Sukarelawan Al-Falah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) telah menganjurkan `Kursus Pengurusan Ibadah Korban Sukarelawan Al-Falah Negeri Pahang’ pada 19 Ogos 2017 lalu bertempat di Dewan Masyarakat FELDA Chini Timur 3.

Pengurus Eksekutif Bahagian Bina Ummah YADIM, Mohd Khairrul Fuad Samsudin berkata, program ini adalah anjuran bersama Sukarelawan Al Falah YADIM dan Sukarelawan Al Falah Negeri Pahang.

Beliau berkata, dalam kursus berkenaan ceramah telah disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Agama Islam, Bahagian Penyelidikan Pejabat Agama Daerah Muadzam Shah, Ustaz Najmudeen Othman.

“Kursus ini telah dijalankan dengan menghimpunkan ahli-ahli Sukarelawan Al-Falah dari Felda Chini Timur 3, Pekan dan Politeknik Muadzam Shah dengan kehadiran seramai 100 orang.

“Pengisian program ini termasuk  teori tentang pengendalian ibadah korban bagi membolehkan mereka menjalankan persediaan bagi melaksanakan Program Ibadah Korban Sukarelawan Al-Falah Negeri Pahang yang akan diadakan pada 4 September 2017 nanti,’’ katanya.

Beliau berkata,  Sukarelawan Al-Falah YADIM tidak terkecuali dalam mengambil bahagian pada Hari Raya Korban nanti dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti mengedarkan daging korban kepada masyarakat Muslim Orang Asli.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *