Home » Langit Terbuka » Sultan Selangor ingatkan bukan Islam agar hormati, tidak campuri hal ehwal agama Islam

Sultan Selangor ingatkan bukan Islam agar hormati, tidak campuri hal ehwal agama Islam

Sultan Sharafuddin mengingatkan mereka yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan hal ehwal Islam di Malaysia. - Gambar fail/Bernam
KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat Malaysia khususnya mereka yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal Agama Islam di Malaysia.
Titah baginda, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan oleh Baginda, memegang amanah dan tanggungjawab bagi melaksanakan segala hal ehwal berkaitan umat Islam.
“MKI juga dianggotai olen pakar-pakar yang arif dalam pelbagai bidang khususnya yang melibatkan undang-undang dan agama Islam,” titah baginda menerusi kenyataan yang dikeluarkan pejabat diraja.
Justeru, Baginda mengharapkan agar orang-orang politik khususnya yang bukan beragama Islam untuk tidak terus-menerus mencampuri urusan hal ehwal Agama Islam. Malah, penganut agama-agama lain seharusnya mencontohi umat Islam yang tidak mencampuri hal ehwal agama lain di Malaysia.
Baginda juga berkenan memetik ayat keenam Surah al-Kafirun yang bermaksud “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”.
Baginda bertitah demikian susulan cadangan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham supaya kerajaan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.
Baginda turut mengambil maklum reaksi Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang menyatakan terdapat salah faham di pihak Koo Ham berkenaan jawatankuasa yang mengkaji bidang kuasa mahkamah syariah mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *