Home » Langit Terbuka » Sultan Selangor sekali lagi tegaskan masjid, surau perlu bebas pengaruh politik

Sultan Selangor sekali lagi tegaskan masjid, surau perlu bebas pengaruh politik

SULTAN Sharafuddin Idris Shah dan Raja Muda Selangor berkenan menunaikan solat Jumaat dan bermesra dengan jemaah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / AFIQ RAZALI

SHAH ALAM: Masjid dan surau perlu bebas daripada sebarang pengaruh dan elemen politik kepartian bagi memelihara kesuciannya sebagai tempat yang menjadi medium penyebaran dakwah serta pusat ibadah umat Islam.

Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Muhammad Farhan Wijaya ketika membacakan khutbah Jumaat berkata, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan masjid dan surau perlu bebas daripada aktiviti yang boleh mengundang perpecahan umat.

“Kuliah-kuliah agama yang dijalankan di masjid-masjid tidak sepatutnya dijadikan sebagai platform untuk menghina, mengumpat, memfitnah dan mencaci mana-mana pihak.

“Jika perkara ini berlaku ia akan menyebabkan persengketaan berpanjangan dan akan merosakkan ikatan persaudaraan sesama umat Islam,” katanya ketika membacakan khutbah khas sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor Ke-78 pada Isnin depan, hari ini.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Raja Muda Selangor dan Tengku Amir Shah berkenan bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof menghadiri Majlis Bacaan Yasin, Tahlil Dan Doa Selamat sempena hari keputeraan baginda ke-78 sebelum menunaikan solat Jumaat di sana.

Dalam pada itu, Muhammad Farhan ketika menyampaikan khutbah sama memaklumkan, baginda masih menegaskan penggunaan kalimah ‘Allah’ di negeri ini yang dikhaskan untuk umat Islam selaras Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Menurutnya, enakmen tersebut turut memperuntukkan fungsi MAIS untuk membantu dan menasihati baginda dalam perkara-perkara berhubung agama Islam, tanggungjawab dan kuasa-kuasa MAIS dalam mentadbir hal ehwal agama Islam negeri ini.

“Ini termasuklah penggunaan beberapa perkataan lain yang termaktub di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam ini bagi tujuan komersial dan bagi tujuan menamakan tempat perniagaan atau bangunan.

“Titah baginda lagi, kalimah Allah tidak boleh diletakkan di tempat salah atau digunakan selain daripada maksud Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi pegangan akidah umat Islam,” ujarnya. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *