Home » Langit Terbuka » Setahun Kerajaan Madani: Pentadbiran Islam diperkasa demi kebaikan umat sejagat

Setahun Kerajaan Madani: Pentadbiran Islam diperkasa demi kebaikan umat sejagat

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. – Bernama

KUALA LUMPUR: Pemerkasaan pentadbiran dan pengurusan hal ehwal agam Islam menjadi fokus utama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) sepanjang setahun kerajaan MADANI.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata dalam tempoh setahun ini beliau telah bertindak memastikan kakitangan jabatan dan agensi agama memahami kerangka Pelan Transformasi Al-Falah.

“Perkara ini amat penting kerana untuk kita pastikan kejayaan dalam pentadbiran hal ehwal Islam, semua warga Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan agensinya perlu bersungguh-sungguh memainkan peranan masing-masing.

“Jika kerangka pelan Al-Falah diusahakan sebaiknya pentadbiran agama Islam di negara ini dapat berubah dari baik kepada lebih baik,” katanya.

Menjelaskan mengenai Al-Falah yang juga Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia MADANI 2023-2027, Mohd Na’im berkata ia merupakan dokumen panduan yang dinamik dalam menetapkan hala tuju 14 agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) secara terancang dan bersasar bagi mencapai objektif dan sasaran untuk tempoh lima tahun.

Al-Falah dirangka dan dihasilkan selari dengan perubahan semasa dasar Kerajaan dan pendekatan baharu melibatkan Malaysia MADANI, Maqasid Syariah, Agenda Pembangunan Mampan 2030, Pelan Anti Rasuah Nasional serta lain-lain dasar yang berkaitan.

“Pelan Al-Falah menunjukkan perkembangan positif setakat ini dan saya yakin melalui sokongan kerajaan, pentadbiran hal ehwal Islam akan bertambah baik dan Islam akan memberikan kebaikan kepada umat sejagat,” katanya.

Menurut Mohd Na’im antara kejayaan pihaknya yang telah dicapai sepanjang tempoh setahun kerajaan MADANI ialah melaksanakan 34 skim bantuan di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi tujuan membawa kelompok asnaf keluar dari kepompong kemiskinan.

Selain itu antara kejayaan lain yang membanggakan ialah memendekkan tempoh memproses pensijilan halal daripada 90 hari kepada 30 hari.

“Melalui tempoh yang makin singkat kita telah merekodkan pencapaian yang memberangsangkan iaitu dari tempoh Mac hingga Oktober sebanyak 63 peratus daripada permohonan pensijilan halal telah dikeluarkan berbanding sasaran 60 peratus.

“Kita akan terus memajukan industri halal negara dan memastikan pensijilan halal Malaysia melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dipandang tinggi,” katanya.

Pemerkasaan mahkamah syariah antara yang turut diberi tumpuan pada tahun pertama kerajaan MADANI.

Mohd Na’im telah mengarahkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) untuk meningkatkan kerjasama dengan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri untuk membawa institusi mahkamah syariah ke tahap yang lebih dihormati masyarakat.

“Saya akan berusaha sehabis daya untuk memastikan cita-cita mengangkat kedudukan institusi mahkamah syariah dapat dilaksana dengan jayanya,” kata Mohd Na’im.

Dalam masa setahun ini juga, Mohd Na’im turut memberi tumpuan kepada hal ehwal Islam yang lain seperti elaun guru kafa, imam, pegawai masjid; nasib mualaf; pendidikan Islam; umrah dan haji; hubungan antara kaum dan agama; kekeluargaan Islam; memperjuangkan isu Palestin, serta perkara-perkara lain berkaitan Islam. — AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *