Home » Langit Terbuka » Susu bayi tercemar tidak dijual di Malaysia

Susu bayi tercemar tidak dijual di Malaysia

Ketua Pengarah Kesihatan berkata, produk susu formula bayi itu dihasilkan hanya untuk pasaran eksport di Singapura

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan menjelaskan susu rumusan bayi jenama Dumex Mamil Gold-Step 1 buatan Malaysia yang dilaporkan ditarik balik dari pasaran Singapura, tidak dijual dalam pasaran Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata, produk susu formula bayi itu dihasilkan hanya untuk pasaran eksport di Singapura.

Katanya, Kementerian Kesihatan mengambil maklum isu penarikan balik susu rumusan itu yang berdasarkan laporan Agri-Food & Veterinary Authority (AVA) Singapura, susu itu tercemar dengan bakteria Cronobacter Sakazakii.

“Produk susu rumusan bayi yang terlibat mempunyai berat bersih 850g setiap tin, nombor batch 09117R1 dan tarikh luput 11 September 2019.

“Bakteria Cronobacter Sakazakii terdapat secara meluas dalam keadaan kering seperti susu formula bayi, biarpun jangkitan Cronobacter jarang berlaku, namun ia boleh menyebabkan Meningitis atau Sepsis yang boleh membawa maut kepada bayi baru lahir,” katanya.

Simptom yang terdapat pada bayi seperti demam, tiada selera makan atau kelesuan.

Dr Hisham berkata, Kementerian Kesihatan sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna serta akan terus meningkatkan pemantauan ke atas produk susu rumusan bayi di pasaran tempatan bagi memastikan pematuhan ke atas Akta Makanan 1983 dan peraturan di bawahnya.

Hasil pemantauan kementerian itu dari 2015 sehingga kini, sebanyak 129 sampel diambil dan didapati tiada bakteria Cronobacter sakazakii dikesan dalam produk susu rumusan bayi.

“Di bawah subseksyen 13(1) Akta Makanan 1983, mana-mana orang yang menyedia atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan.”

Sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana pejabat kesihatan daerah atau Jabatan Kesihatan negeri terdekat atau melalui https://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq. – FMT

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *