Home » Langit Terbuka » Tabung Haji sasar lebih 50 peratus umat Islam miliki akaun TH

Tabung Haji sasar lebih 50 peratus umat Islam miliki akaun TH

Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) menyasarkan lebih 50 peratus umat Islam di negara ini akan memiliki akaun dengan Tabung Haji menjelang akhir 2024.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, sehingga kini, TH sudah menguruskan 1.5 juta jemaah haji untuk menunaikan rukun Islam yang kelima, di samping membelanjakan RM2.5 bilion untuk Bantuan Kewangan Haji bagi meringankan beban bakal haji negara sejak 2001.

Katanya, TH juga sudah mengagihkan keuntungan berjumlah lebih RM40 bilion kepada pendepositnya dalam tempoh 60 tahun.

Pada awal operasinya, Tabung Haji hanya mempunyai seramai 1,281 pendeposit dengan tabungan sebanyak RM46,610.

null

“Alhamdulillah terkini, Tabung Haji sudah mempunyai hampir sembilan juta pendeposit dengan jumlah tabungan lebih RM89 billion, antara jumlah tertinggi sejak penubuhannya 60 tahun lalu.

“Lebih membanggakan, sehingga akhir Ogos 2023, lebih 45 peratus daripada keseluruhan 18 juta umat Islam di Malaysia sudah membuka akaun Tabung Haji.

“Kami menyasarkan lebih 50 peratus umat Islam akan memiliki akaun TH pada penghujung 2024,” katanya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-60 Tabung Haji di sini, hari ini

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Lembaga TH, Tan Sri Azman Mokhtar.

Selain itu, Mohd Na’im berkata, dalam usaha memelihara mandat yang dipertanggungjawabkan dan kekal relevan sebagai pengurus haji dan pentadbir dana haji untuk umat Islam Malaysia, Tabung Haji sudah melancarkan satu Pelan Transformasi Strategik atau dikenali sebagai Hijrah24 pada 2022.

Beliau berkata, sejak pelancaran Hijrah24, Tabung Haji juga sudah meningkatkan saiz dana sebanyak RM5.7 bilion (6.8 peratus) daripada RM83.3 bilion kepada RM89 bilion, dan akan terus bekerja keras untuk mencapai sasaran saiz dana sebanyak RM100 bilion menjelang 2024. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *