Home » Langit Terbuka » Tabung Haji sewa 12 bangunan

Tabung Haji sewa 12 bangunan

MADINAH 19 Jun –Seramai 22,320 jemaah Malaysia yang akan menunaikan fardu haji musim ini tidak perlu bimbang apabila Tabung Haji menyewa 12 bangunan di Mekah dan di sini untuk penginapan mereka.

Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah berkata, perjanjian itu merangkumi sembilan bangunan di Mekah dan tiga lagi di sini.

Jelasnya, bagi di Mekah jarak hotel dari Masjidilharam tidak lebih 1,000 meter manakala di sini pula tidak melebihi 150 meter dari Masjid Nabawi.

“Kedudukan jarak yang agak dekat antara hotel dengan kedua-dua masjid itu akan memberi keselesaan kepada jemaah,” katanya kepada wartawan Malaysia mengenai persediaan logistik Tabung Haji bagi musim haji di sini hari ini.

Dalam pada itu, Johan memberitahu, agensi itu menyewa pesawat daripada dua syarikat penerbangan bagi membawa jemaah ke Mekah dan Madinah.

“Dua syarikat penerbangan itu adalah Malaysia Airlines Berhad serta Saudi Arabian Airlines yang akan membawa jemaah bermula 4 Ogos hingga 4 September ini,” ujarnya.

Katanya, selepas musim haji selesai, jemaah Malaysia dijadual berlepas pulang bermula 17 September hingga 15 Oktober ini.

Bagi keselesaan jemaah untuk berbelanja harian, Johan berkata, agensi itu membuka kaunter kewangan di semua bangunan penginapan jemaah.

“Jemaah tidak perlu membawa pasport atau buku simpanan untuk mengeluarkan wang, sebaliknya hanya perlukan tanda nama yang diberikan Tabung Haji serta cap jari sahaja untuk berbuat demikian,” jelasnya.

Mengenai perkhidmatan kesihatan pula, beliau berkata, Tabung Haji akan membuka klinik di semua penginapan di Mekah serta di sini dan rawatan yang diberikan adalah percuma. – UTUSAN

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *