Home » Langit Terbuka » Tabung Haji tiada masalah kewangan

Tabung Haji tiada masalah kewangan

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Jumlah simpanan pendeposit bersih Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) berakhir 31 Disember tahun lepas yang bernilai RM4.97 bilion boleh dibayar pada bila-bila masa, melihat kepada nilai aset boleh direalisasi oleh Tabung Haji pada waktu itu yang bernilai RM64.74 bilion.

Pengarah Urusan Kumpulan Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah berkata, fakta itu sekali gus menyangkal dakwaan konon­nya badan itu sedang menghadapi masalah kewangan dan tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membayar balik pendeposit sekiranya mereka mengeluarkan semua wang pada tarikh tersebut.

“Dakwaan ‘kerugian’ sebanyak RM3.09 bilion yang diuar-uarkan pula merupakan pelaburan yang belum dire­alisasi dan tidak boleh dianggap kerugian selagi penjualan ekuiti belum dilaksanakan.

“Kita berniaga dan melabur untuk jangka masa panjang, memang ada turun naiknya. Selagi Tabung Haji tidak menjual saham yang dikatakan defisit ini, kita tidak boleh anggap­nya sebagai kerugian,” katanya dalam sidang akhbar penjelasan Tabung Haji berkenaan kedudukan kewangan di sini hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendakwa, penyata kewangan yang diaudit bagi tahun kewangan terkini 31 Disember tahun lalu menunjukkan bahawa badan itu tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membayar balik semua pendeposit sekiranya mereka mengeluarkan wang sekali gus.

Tambah Johan, jika benar kerugian Tabung Haji adalah melebihi keuntungan, badan itu tidak akan mampu untuk membayar bonus (dividen) kepada pendeposit setiap tahun.

“Tabung Haji membayar di­vi­den kepada pendeposit meng­gunakan keuntungan yang diperoleh dan tidak bersandarkan peningkatan simpanan bersih pendeposit. Selain nilai aset boleh direalisasi bernilai RM64.74 bilion, Tabung Haji masih ada lebihan aset bersih bernilai RM1.44 bilion.

“Pada tahun 2015, bilangan pendeposit meningkat seramai 236,000 orang, menunjukkan keyakinan berterusan kepada Tabung Haji,” jelasnya.

Menurut Johan lagi, beliau meminta supaya sesetengah pihak tidak bertanggungjawab berhenti daripada menimbulkan spekulasi dan propaganda melibatkan Tabung Haji yang merisaukan pendeposit.

“Spekulasi sebegini akan me­risaukan pendeposit dan menyebabkan mereka menarik balik semua simpanan sekali gus menyebabkan kehilangan giliran mereka untuk menunaikan ibadah haji.

“Pendeposit tidak perlu risau kerana semua simpanan mengikut konsep simpanan Al-Wadiah Yad Dhamanah serta dijamin oleh kerajaan. Saya berharap Tabung Haji tidak dijadikan bahan politik mana-mana pihak dan mendatangkan kerisauan kepada orang ramai,” katanya.

https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *