Home » Langit Terbuka » Tak sokong AS: Trump ancam tarik balik bantuan kewangan

Tak sokong AS: Trump ancam tarik balik bantuan kewangan

WASHINGTON 21 Dis -Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Rabu mengancam untuk menarik balik bantuan kewangan dari negara-negara yang menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menolak pengiktirafan AS dalam isu Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel, lapor agensi berita China Xinhua.

“Mereka telah mengambil beratus-ratus juta dolar, bahkan berbilion dolar, dan mereka mengundi menentang kami,” kata Trump kepada pemberita pada mesyuarat kabinet di Rumah Putih.

“Kami sedang memerhatikan undi-undi tersebut. Biarkan mereka mengundi menentang kami. Kami akan menjimatkan wang yang begitu banyak. Kami tidak peduli,” katanya.

Kenyataan Trump dibuat selepas Duta AS ke PBB, Nikki Haley, menerusi akaun Twitter beliau menyatakan bahawa “AS akan mengambil nama” mereka yang mengkritik pilihan AS di Perhimpunan Agung PBB.

Perhimpunan Agung PBB akan mengadakan sesi mesyuarat tergempar yang jarang dilakukan bagi membincangkan status Baitulmaqdis pada Khamis selepas Amerika Syarikat menggunakan kuasa vetonya terhadap gesaan awal yang digubal oleh Mesir agar Washington menarik balik keputusannya mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

Amerika Syarikat pada Isnin telah menggunakan kuasa vetonya terhadap satu deraf resolusi Majlis Keselamatan berhubung status Baitulmaqdis.

Kesemua 14 anggota Majlis Keselamatan telah mengundi untuk menyokong teks deraf yang digubal oleh Mesir itu.

Bagaimanapun, memandangkan Amerika Syarikat, yang merupakan anggota tetap Majlis Keselamatan, mempunyai kuasa veto, resolusi itu tidak dapat diterima pakai.

Sebelum undian, Duta Mesir ke PBB, Amr Abdellatif Aboulatta menjelaskan bahawa deraf resolusi itu bertujuan memastikan bahawa sebarang percubaan untuk mengubah ciri-ciri atau komposisi demografik Kota Lama Baitulmaqdis tidak mempunyai kesan, batal serta tidak sah dan hendaklah dimansuhkan.

Deraf resolusi itu turut menggesa semua pihak tidak mewujudkan misi diplomatik di Baitulmaqdis, katanya.

Menurut sumber PBB, Duta Palestin Riyad Mansour berkata negaranya berharap Perhimpunan Agung tersebut akan merangka satu resolusi bagi menggesa penarikan balik langkah AS itu.

Pada 6 Disember, Trump mengisytiharkan bahawa Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel dan akan memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, yang mencetuskan kemarahan besar-besaran dalam kalangan dunia Arab dan Islam. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *