Home » Langit Terbuka » Tanggal tudung: Pelajar Arab Saudi saman polis Chicago

Tanggal tudung: Pelajar Arab Saudi saman polis Chicago

CHICAGO, 14 Ogos – Seorang pelajar dari Arab Saudi yang sedang mengikuti kelas bahasa Inggeris di sini, menyaman bandar ini dan enam anggota polis kerana bertindak kasar terhadapnya di atas tangga stesen kereta api bawah tanah, menanggalkan tudung dan melanggar hak asasinya pada 4 Julai tahun lalu.

Kumpulan penyokong Muslim – Majlis Perhubungan Amerika-Islam (CAIR) – mengumumkan semalam, saman awam dibuat bagi pihak pemastautin di sini, Itimad Al-Matar, 32.

Itimad yang memakai pakaian menutup seluruh tubuhnya, termasuk berhijab – pakaian tradisional Arab Saudi – ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya. Beliau berlari menaiki tangga untuk mengejar kereta api, apabila sekumpulan anggota polis ‘mengejar’, menariknya hingga terjatuh, kata saman itu.

Pengarah Eksekutif CAIR di Chicago, Ahmed Rehab, berkata mereka menyentap tudung, hijab dan baju yang dipakai wanita itu.

“Itimad membuat pilihan untuk menutup keseluruhan tubuhnya, tetapi seseorang datang dan mendedahkannya dalam satu tindakan yang ganas. Ia satu perbuatan hina dan memalukan.

“Tindakan itu menyebabkan Itimad yang datang ke Amerika Syarikat kira-kira setahun lalu untuk belajar bahasa Inggeris, terkejut dan ketakutan,” katanya.

Saman itu membabitkan tuduhan bahawa polis bertindak secara prejudis dan dengan niat jahat.

Sebelum ini, Itimad ditangkap dan dituduh cuba mengelak daripada ditahan serta tingkah laku melulu, tetapi makhamah membebaskannya pada Jun tahun lalu.

Ahmed Rehab berkata, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat sekarang ini sedang menyiasat cara polis Chicago mengendali kes itu.

Saman turut mendakwa Itimad menjadi mangsa kepada tindakan berlebihan, salah tangkapan, pemeriksaan di luar undang-undang dan melanggar kebebasan beragama. – Agensi

Artikel Berkaitan

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *