Home » Citra Yadim » Tangki penyelesaian alternatif Water For Life Kampung Gayau

Tangki penyelesaian alternatif Water For Life Kampung Gayau

W4Life
Salleh (dua dari kanan) dalam sesi taklimat Water For Life Kampung Gayau

PUTRAJAYA – Pembinaan tangki atau kolah dicadangkan sebagai langkah penyelesaian alternatif untuk membekalkan air kepada penduduk Kampung Gayau, Pantu, Sri Aman, Sarawak.

Pengurus  Besar Yayasan Amal Malaysia, Salleh Farmin berkata, ia bagi membolehkan penduduk di kampung berkenaan menikmati bekalan air bersih secara konsisten, terutamanya pada musim kemarau pada bulan Jun hingga Ogos.

“Buat masa ini memang ada air, cuma kita perlu fikir untuk musim kemarau nanti, jadi saya cadang di padang di kampung berkenaan supaya kita bina tangki atau kolah konkrit setinggi mungkin 6 kaki untuk kegunaan penduduk.

“Tangki itu kita penuhkan menggunakan sumber air yang masih ada sekarang (air gunung), untuk kegunaan semasa kecemasan,” jelasnya.

Salleh berkata demikian dalam sesi taklimat Projek Water For Life Kampung Gayau di ibu pejabat Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia di sini hari ini (27 Februari 2019).

Taklimat mengenai perkembangan projek berkenaan disampaikan oleh Pengarah Projeknya, Ir Nuzul Adzwan.

YADIM diwakili oleh Pengurus Besar Pengurusan dan Kewangan, Redhauddin Kamaruzaman, Pengarah Kanan Pejabat Yang Dipertua, Ustaz Wan Subki Wan Salleh, Pengarah Bahagian Pelaburan dan Penajaan, Abi Said Al Khudri Hussin dan Penyelaras Water For Life YADIM, Mohd Firdaus Mohd Rusli.

Water For Life Kampung Gayau merupakan sebuah projek usaha sama antara YADIM dan Yayasan Amal Malaysia untuk membekalkan air bersih kepada penduduk dan surau kampung tersebut menggunakan kaedah telaga tiub.

Pada masa yang sama, ia merupakan sebuah usaha dakwah kerana bekalan air itu juga bakal dinikmati oleh penduduk bukan Islam.

Kampung Gayau mempunyai kira kira 100 penduduk dengan komposisi 10 pintu masyarakat Iban Muslim dan 40 pintu Iban bukan Muslim

Ia bermula sejak 2 November 2018 dan  bakal memberikan manfaat bukan sahaja kepada penduduk kampung itu, malah kepada komuniti lain di sekitarnya seperti Kampung Gayau Atas, Kampung Isu dan Kampung Tekoyong.

Dalam pada itu Salleh menjelaskan, penduduk Kampung Gayau sebelum ini menggunakan air dari sebuah sungai kira kira 600 meter dari kampung tersebut pada musim kemarau.

“Cuma ia dikhuatiri tahap kebersihannya, jadi kalau kita boleh bina tangki atau kolah di kawasan berdekatan surau kampung itu, ia boleh digunakan semua” ujarnya.

Sementara itu Nuzul memberitahu, sekiranya terdapat peluang dan dana tambahan, pihaknya berhasrat untuk melaksanakan projek yang sama di sebuah kampung di Simunjan.

“Difahamkan terdapat sebuah kampung di sana yang boleh dikatakan agak mendesak keperluannya, surau di sana memang tiada air.” kata beliau.

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *