Home » Langit Terbuka » Team Dapur MADANI sedia makanan bermasak untuk mangsa bah

Team Dapur MADANI sedia makanan bermasak untuk mangsa bah

KUALA NERUS: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Terengganu menubuhkan Team Dapur MADANI menyediakan makanan bermasak kepada mangsa banjir di negeri ini.

Pengarahnya, Nasrul Hadi Saiadin, berkata makanan berkenaan disediakan secara bergotong-royong untuk mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) dan turut diagihkan kepada penghuni rumah yang turut terjejas dengan bencana berkenaan.

“YADIM menyediakan 300 bungkus makanan setiap hari yang diagihkan terus kepada mangsa banjir yang berlindung di PPS, selain turut menghantar ke rumah-rumah yang dilanda bah,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengiringi Tengku Seri Temenggong Raja, Datuk Seri Tengku Baharuddin Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah menyantuni mangsa dan mengagihkan bantuan di PPS Tok Jembal, di sini.

Dalam pada itu, Nasrul berkata, YADIM Terengganu mempunyai lebih 1,000 sukarelawan di seluruh negeri ini yang boleh digerakkan untuk membantu mangsa banjir membersihkan kediaman yang terjejas dengan bencana itu.

“Kita jangkakan lebih 300 sukarelawan dapat turun padang membantu mangsa banjir membersihkan rumah,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan, pihaknya akan mengagihkan lebih 1,000 barangan dan makanan kepada mangsa banjir di negeri ini dengan peringkat permulaan, sebanyak 200 kit keperluan peribadi dan makanan diagihkan kepada mangsa banjir di PPS Tok Jembal.

“YADIM yang disertai 15 sukarelawan menyantuni mangsa banjir dengan menyalurkan bantuan berupa pek makanan dan barang keperluan. Kami bukan saja menyalurkan bantuan makanan dan keperluan, tetapi turut membantu mangsa banjir membersihkan rumah.

“Selepas ini, kami akan bergerak ke setiap daerah yang dilanda banjir di seluruh negeri ini bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa. Sumbangan ini tanda keprihatinan kami terhadap penduduk yang terkesan dengan banjir,” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *