Home » Langit Terbuka » Teliti pandangan negeri, ulama, ahli akademik perkasa Mahkamah Syariah – PM

Teliti pandangan negeri, ulama, ahli akademik perkasa Mahkamah Syariah – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Menggubal Undang-Undang Islam diminta berbincang dengan setiap negeri, selain mendapatkan pandangan ulama, mufti dan ahli akademik berhubung langkah untuk memperkasa Mahkamah Syariah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata permintaan itu dimaklumkan beliau dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, baru-baru ini.

“Saya mahu jawatankuasa ini mendengar pandangan siapa saja yang mahu mengemukakan (pandangan), tidak menghalang. Biar jawatankuasa dengar semua, putuskan, kemukakan pandangan dan kita teliti dari segi perlembagaan oleh Jabatan Peguam Negara.

“Kemudian, kita bawa kepada Majlis Raja-Raja, bawa balik kepada Jemaah Menteri kerana Jemaah Menteri yang mesti putuskan untuk dibawa ke Parlimen.

“Ahli Parlimen yang perlu bersetuju untuk pinda perlembagaan, (yang memerlukan sokongan) dua pertiga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer.

Perdana Menteri turut membidas tindakan pihak tertentu yang mengambil kesempatan mempolitikkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah, sehingga mengelirukan rakyat dan bukan cuba untuk bersama-sama mencari jalan penyelesaian.

“Negara ini negara hukum, ikut undang-undang, bukan ikut ceramah politik. Saya terangkan di beberapa tempat kerana saya tengok perkara ini, ada yang mendakwa “ini kerja jihad, ini pelanggaran menghakis mahkamah syariah di negara kita, orang boleh minum arak dan zina sesuka hati'”… mana pula ini (berlaku)?

“Orang yang tidak tahu hukum (percaya), apa lagi jika yang bercakap itu ustaz, pakai jubah. Perkara ini tidak boleh diteruskan. Kadang-kadang saya tidak faham kerana yang bercakap ini yang belajar undang-undang.

“Bagaimanapun, jelas yang dia nak buat itu hanya kemarahan dari segi politik tapi silap besar, apatah lagi Majlis Raja-Raja seperti dititahkan Sultan Selangor tidak setuju perkara ini dipolitikkan dan kita ada cara untuk menyelesaikannya,” katanya.

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *