Home » Langit Terbuka » Tentera AS, Turki dibimbangi berkonfrontasi

Tentera AS, Turki dibimbangi berkonfrontasi

ISTANBUL 25 Jan. – Kebimbangan berlakunya pertempuran antara tentera Turki dan Amerika Syarikat (AS) di Syria semakin memuncak apabila militan Kurdis yang diterajui Unit Perlin­dungan Rakyat Kurdish (YPG) mengerahkan tenteranya mempertahankan Manbij setelah Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berikrar menyerang bandar ber­kenaan selepas Afrin.

Portal Al Jazeera melaporkan, Manbij yang terletak 100 kilo­meter dari timur Afrin mempunyai tentera Amerika yang ditugaskan untuk memerangi militan Daesh bersama-sama pejuang Kurdis sekali gus memungkinkan berlaku pertembungan antara kedua-dua tentera berlaku.

Menurut jurucakap tentera perikatan yang diketuai AS di Manbij, Kolonel Ryan Dillon, askar AS di bandar itu mempunyai hak mempertahankan diri daripada sebarang serangan dan tidak teragak-agak untuk berbuat demikian.

“Jelas kami amat berjaga-jaga dengan perkara yang sedang berlaku terutamanya di kawasan Manbij kerana tentera kami berada di sini dan mereka mempu­nyai hak untuk mempertahankan diri jika perlu,” katanya.

Jurucakap Majlis Ketente­raan Manbij, Sharfan Darwish berkata, unit itu yang bernaung di bawah YPG ketika ini diserang tentera Turki di Afrin dan mereka sudah membuat persiapan untuk bertempur dengan tentera Turki.

Situasi tegang di utara Syria itu memaksa Donald Trump meng­hubungi rakan sejawatnya, Recep Tayyip semalam menggesa Ankara mengehadkan serangan tenteranya di Afrin dan mengelak serangan ke atas orang awam.

“Beliau menggesa Turki supaya berwaspada dan mengelak sebarang tindakan yang mungkin mendatangkan konflik antara tentera kedua-dua pihak,” kata White House dalam satu kenya­taan di sini.

Sementara itu, sekurang- kurangnya dua orang terbunuh manakala 11 lagi cedera selepas serangan roket dari Syria mengenai beberapa kawasan di selatan Turki, semalam.

Dalam serangan yang berlaku pada waktu malam itu, satu da­ripada roket terbabit menghentam sebuah masjid di wilayah sempadan Turki, Kilis manakala satu lagi roket mengenai sebuah rumah, 100 meter daripada lokasi serangan pertama. – AGENSI/AFP

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *