Home » Langit Terbuka » Wang tidak boleh jual beli Baitulmaqdis – Palestin

Wang tidak boleh jual beli Baitulmaqdis – Palestin

Nabil Abu Rudaineh.

RAMALLAH 26 Jan. – Pemimpin Palestin menegaskan tidak terkesan dengan ugutan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang mahu menyekat bantuan kewangan tahunan sekiranya mereka menolak proses rundingan damai bersama Israel.

“Amalan mengugut ini… tidak akan terkesan dengan rakyat Palestin,” kata jurucakap Presiden Palestin, Nabil Abu Rudaineh, dalam satu sidang media pada Khamis.

“Baitulmaqdis adalah isu suci dan juga kunci kepada keamanan dan peperangan di rantau ini. Dan segala wang di dunia ini tidak boleh digunakan untuk menjual atau membeli Baitulmaqdis,” beliau dipetik berkata agensi berita rasmi Palestin, Wafa.

Tegasnya, AS tidak mempunyai peranan dalam proses rundingan damai itu, selagi tidak menarik balik keputusan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

“Kami mengecam dan menolak, dasar menggunakan wang untuk mengugut rakyat Palestin supaya melutut kepada AS,” kata jurucakap itu.

Pengumuman sekatan itu dibuat oleh Trump selepas perjumpaannya bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Khamis di WEF, Davos.

“Kami sediakan ratusan dolar sebagai bantuan kepada Palestin. Kami tidak akan serahkan duit tersebut sehingga Palestin sudi untuk mengadakan sesi rundingan damai,” jelas Trump.

Trump bagaimanapun tidak menyatakan dengan khusus bentuk bantuan yang dirujuk beliau dalam kenyataan itu.

Bagaimanapun, sejak 2008 lagi, AS telah menyumbang kira-kira AS$400 juta setiap tahun sebagai bantuan ekonomi kepada pihak berkuasa Palestin.

Minggu lepas, AS telah mengumumkan untuk menyekat separuh daripada bantuan kewangan AS$125 juta kepada Agensi Bantuan Kemanusiaan PBB (UNRWA) di terminal sempadan antara Israel dengan Jaluran Gaza.

Agensi itu menyalurkan bantuan kepada 5 juta pelarian berdaftar di beberapa kawasan antaranya Lubnan, Jordan dan Syria.

Terdahulu, kehadiran Naib Presiden AS Mike Pence mendapat tentangan hebat warga Palestin ketika beliau membuat lawatan kerja ke wilayah Baitulaham di Palestin.- ASTRO AWANI

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *