Home » Langit Terbuka » Tetapan baharu had jemaah solat Jumaat, fardu di Selangor

Tetapan baharu had jemaah solat Jumaat, fardu di Selangor

JAIS memaklumkan had jemaah itu yang termasuk pentadbir masjid, selepas mengambil kira penurunan kes Covid-19 yang konsisten dan terkawal. - Foto FMT

SHAH ALAM – Selangor membenarkan sehingga 1,000 jemaah bersolat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri), manakala 500 jemaah bagi masjid lain dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2.

Ketetapan baharu itu yang berkuat kuasa hari ini, dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sehingga suatu tempoh yang akan ditentukan kelak.

Dalam edaran yang tular di media sosial, Jais memaklumkan had jemaah itu yang termasuk pentadbir masjid, selepas mengambil kira penurunan kes Covid-19 yang konsisten dan terkawal, peningkatan peratus vaksinasi lengkap, kesedaran masyarakat terhadap kawalan kendiri serta beberapa indikator yang signifikan.

Bagi Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong; Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya dan masjid institusi pula, masing-masing 500 jemaah bagi solat Jumaat serta 300 jemaah untuk solat lima waktu.

Masjid pengurusan ditetapkan 400 jemaah bagi solat Jumaat dan 300 jemaah solat lima waktu, manakala 350 jemaah untuk masjid kariah bersolat jumaat dan 200 jemaah dihadkan bagi solat lima waktu.

“Surau kebenaran solat Jumaat pula 250 jemaah dibenar untuk solat Jumaat, manakala 200 jemaah untuk solat lima waktu, sementara surau kariah dan musolla pula dibolehkan 100 jemaah bagi solat lima waktu,” menurut edaran itu.

Selain itu, prosedur operasi standard (SOP) mencegah wabak diberi penekanan dengan jemaah hanya dalam kalangan ahli kariah yang tinggal bermastautin dalam kawasan dan perlu lengkap dua dos vaksin Covid-19 dan melepasi tempoh inkubasi ditetapkan.

Masjid dan surau juga dibenar menerima jemaah bermusafir atau pemandu e-hailing dan penghantar makanan.

“Jemaah bukan warganegara yang dikenali dan melazimi hadir ke masjid atau surau boleh dipertimbangkan,” menurut edaran itu.

Selain itu dimaklumkan, program mengimarahkan masjid dan surau dibenar dilaksana, antaranya kuliah Subuh, kuliah Dhuha, kuliah Maghrib, tazkirah sebelum solat Jumaat, halaqah tadarus dan tadabbur Al-Quran, kuliah muslimat, bacaan Yasin dan tahlil serta program munajat dan doa.

Bagaimanapun, jamuan selepas majlis dan penyediaan secara hidang tetap tidak dibenarkan.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *